Ronald Kiandee Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah yang baharu

Ronald Kiandee Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah yang baharu

Kota Kinabalu: Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah dan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Perikatan Nasional (PN) Sabah yang baharu.

Pelantikan itu diumumkan Presiden BERSATU yang juga Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan medianya, hari ini, susulan tindakan pemimpin BERSATU Sabah, termasuk Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor meninggalkan parti itu semalam.

Muhyiddin berkata BERSATU Sabah kekal wujud dan berfungsi walaupun Hajiji selaku bekas Pengerusi Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah dan pengikutnya mengumumkan keluar parti.

“Badan Pimpinan Negeri, Bahagian-Bahagian dan Cawangan-Cawangan BERSATU di negeri Sabah ditubuhkan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU dan hanya MPT BERSATU yang mempunyai kuasa di bawah perlembagaan parti untuk menentukan kedudukannya.

Sehubungan itu, sukacita saya ingin mengumumkan YB Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Naib Presiden BERSATU dan Ahli Parlimen Beluran, dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah dan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Perikatan Nasional (PN) Sabah,” katanya.

Muhyiddin berkata, Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran bertanggungjawab untuk menyelia dan menguruskan BERSATU Negeri Sabah dan PN Negeri Sabah sehingga penyusunan semula BERSATU Negeri Sabah dan PN Negeri Sabah diputuskan oleh MPT BERSATU dan MT PN.

“Saya kecewa dengan sikap mantan kepimpinan BERSATU Negeri Sabah yang tidak menunjukkan kesetiaan kepada parti yang telah meletakkan mereka pada kedudukan yang tinggi selepas Pilihan Raya Negeri Sabah yang lalu. Lebih-lebih lagi kemenangan mereka dalam PRN yang lalu adalah atas logo PN.

“Saya percaya ahli-ahli BERSATU di negeri Sabah yang setia dengan perjuangan parti akan terus kekal berada di dalam BERSATU yang merupakan parti komponen Perikatan Nasional di peringkat Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, mengenai kedudukan empat Ahli Parlimen BERSATU yang bertanding menggunakan logo GRS pada PRU15, Muhyirdin berkata kedudukan mereka akan ditentukan berdasarkan undang-undang anti lompat parti di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|