Beaufort: Jumlah mangsa banjir di dua daerah yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 1,958 individu, setakat jam 8 pagi, hari ini.
Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, jumlah PPS yang dibuka setakat ini bagi menempatkan semua 733 keluarga mangsa banjir itu pula adalah di sebanyak 17 lokasi.
Katanya, 15 PPS dibuka di daerah Tenom manakala dua lagi dibuka di daerah Beaufort sejak 10 Mei lalu.
“PPS terbaru yang dibuka semalam adalah di Dewan DSP Dun Banir, Beaufort, bagi menempatkan 132 mangsa banjir membabitkan 35 keluarga.
“Setakat ini, mangsa paling ramai dipindahkan adalah di PPS Rumah Kebudayaan Maugus, Tenom iaitu membabitkan seramai 231 mangsa banjir,” katanya.
Menurutnya, ia diikuti dengan PPS Dewan Selagon, Beaufort dan Rumah Kebudayaan Ponontomon, Tenom dengan masing-masing sebanyak 218 serta 209 mangsa banjir,” katanya.
Katanya, semua mangsa banjir yang terlibat adalah dari 56 kampung di daerah Beaufort dan 22 lagi kampung di daerah Tenom.
-Deasoka