Penunggang motosikal maut dalam nahas tiga kenderaan

Tawau: Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 10 Jalan Tawau – Bombalai, di sini, semalam.

Dalam kejadian 6.30 petang itu, penunggang motosikal jenis Yamaha Y125ZR lelaki berusia 21 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa bergerak dari arah ladang Table menuju ke pusat bandar, manakala Proton Wira dan pacuan empat roda dari arah bertentangan menuju ke Merotai.

Katanya, kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan yang berada di laluannya dengan memasuki arah bertentangan.

“Namun ketika memotong, penunggang motosikal telah terlanggar bahagian kanan hadapan dan cermin sisi Proton Wira lalu hilang kawalan dan dilanggar pacuan empat roda yang berada di belakang Proton Wira.

“Akibat kemalangan itu, penunggang tercampak sejauh 12.7 meter dan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jasmin berkata, pemandu Proton Wira lelaki berusia 27 tahun luka dibahagian mata akibat terkena cermin sisi manakala pemandu pacuan empat roda lelaki berusia 28 tahun tidak cedera.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tawau menggunakan ambulans untuk bedah siasat dan tindakan lanjut.

“Polis masih meneruskan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|