Kota Kinabalu: UMNO akan ditolak rakyat sekali lagi jika ahli dan pemimpinnya mula lalai disebabkan sudah kembali mendapat sedikit kuasa ketika ini.
Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir Abdul Aziz Julkarnain, berkata sedikit kesenangan dan kuasa yang dinikmati UMNO ketika ini adalah ujian kepada ahli dan pemimpin parti itu.
“Apakah kita semakin kukuh dan utuh atau mula berpuak-puak? Jangaaan. Jangan kita berpecah belah tatkala gendang perang sedang kuat dipalu.
“Kita akan ditolak sekali lagi oleh rakyat hanya kerana sedikit kuasa yang dipinjamkan tetapi alpa lemas kerana bahana kuasa.
“Kita masih ada tanggungjawab besar buat rakyat iaitu membangun negara ini mengikut acuan dan ramuan UMNO – Barisan Nasional (BN) yang sebenar,” katanya dalam perutusannya sempena Ulang Tahun UMNO ke-76, semalam.
Beliau menegaskan, mungkin ada ahli atau pemimpin UMNO yang lupa bahawa parti itu adalah sebuah perjuangan.
Jelasnya, UMNO bukan wujud kerana pangkat dan harta, sebaliknya wujud kerana derita Melayu dan Bumiputera hasil warisan sistem kolonial British sejak berabad lalu.
“Kita ketinggalan dalam pelbagai segi kerana penjajah British membahagikan fungsi ekonomi mengikut kaum.
“Sebab itu UMNO ditubuhkan untuk mengurangkan jurang perbezaan antara kaum sekali gus mewujudkan perpaduan kaum yang boleh membawa kestabilan dan kemakmuran kepada negara.
“Justeru, saya menyeru kepada semua ahli UMNO untuk merapatkan saf perjuangan,” katanya.
Abdul Aziz menekankan ahli UMNO perlu bersatu padu bagi memastikan tiada ruang untuk pihak musuh mengambil kesempatan memecah belah kekuatan parti itu.
“Tiada guna kita ramai tapi berantakan satu sama lain, musuh akan ambil kesempatan.
“Jangan kita seperti buih-buih di laut, banyak tapi tidak punya daya dan kekuatan. Banyak tapi dipermainkan gelombang lautan, dihempaskan ke tepian pantai tanpa punya makna dan erti.
“Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air. Kamilah generasi pemuda, Di Pundak kami masa depan bangsa,
Kami pikul tanpa diarah, Walau tubuh bermandikan darah.
“Ayoh, jangan kita sia-siakan masa yang tersisa. Sudah datang saatnya untuk kita bersama-sama, bahu membahu memenangkan parti keramat ini,” katanya.
-Deasoka