Bomba Beaufort sanggup tinggalkan cuti raya selamatkan mangsa banjir

Beaufort: Demi tuntutan tugas, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort tidak meneruskan cuti perayaan sebaliknya bertungkus lumus meredah banjir untuk menyelamatkan mangsa yang terjejas di beberapa kampung di daerah ini.

Ketua BBP Beaufort, Mohammad Hasbullah Nenggok berkata, bukan setakat pihak bomba tetapi juga pasukan penyelamat lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut memenuhi tuntutan tugas masing-masing.

Mohammad Hasbullah

“Kami sentiasa bersedia memandangkan kita berada di daerah bencana, jadi cuti kebanyakan anggota yang dimohon dibekukan serta merta.

“Apabila berlaku bencana kita akan panggil semua anggota-anggota yang bercuti dan mereka tiada masalah kerana faham kerana kita berada di daerah bencana saban tahun,” katanya ketika ditemui media di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Selagon di sini, hari ini.

Ruslan ketika ditemui media di PPS Selagon, Beaufort.

Katanya lagi, pihaknya juga sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi bencana banjir termasuk dari segi keanggotaan dan aset serta kerjasama daripada pasukan penyelamat lain.

“Setakat ini aset kita mencukupi, kita ada lori dan bot. Kemungkinan jika tidak mencukupi kita mohon dari logistik di daerah berdekatan.

Ruslan menyampaikan sumbangan makanan kepada Pegawai Daerah Beaufort, Mohd Nazri Ajun bagi mewakili mangsa banjir di PPS Dewan Selagon, Beaufort.

“Proses pemindahan yang dijalankan juga lancar sejak malam tadi dan sehingga kini ada lagi penduduk yang akan dipindahkan,” katanya.

Bagaimanapun, Mohammad Hasbullah turut menasihatkan penduduk yang enggan berpindah ke tempat selamat bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Ruslan Muharam berkata, prihatin dengan nasib yang menimpa mangsa beliau turut menyampaikan sumbangan makanan bermasak kepada mangsa banjir di PPS Dewan Selagon terbabit.

“Hari ini kita mengadakan majlis ramah mesra Aidilfitri dan kita lihat makanan-makanan yang disediakan begitu banyak. Jadi kita agihkan kepada mangsa banjir dan anggota yang bertugas untuk bersama dengan kita menikmati walaupun dalam keadaan berduka.

“Walaupun mereka ditimpa musibah banjir, tetapi walau apa keadaan sekali pun kita cuba memeriahkan mereka,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|