Raya mengejut, banjir mengejut, penduduk pindah jam 3 pagi ke PPS

Beaufort: “Raya mengejut, banjir pun mengejut,” itu luahan mangsa banjir, Marhumah Arifin, 50, penduduk Kampung Bakalau, di sini, yang dilanda banjir malam tadi.

Air Sungai Padas yang melimpah sejak malam tadi menyebabkan rumah mereka dinaiki air sehingga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Selagon, di sini.

Marhumah (tengah) bersama anaknya di PPS Dewan Selagon, Beaufort.

Marhumah berkata, kejadian banjir sudah menjadi perkara biasa bagi mereka lima beranak setiap kali hujan lebat memandangkan kawasan rumah mereka mudah dinaiki air.

“Setiap bulan rumah kami dilanda banjir tetapi kali ini air melimpah sehingga ke paras paha dan menyebabkan kami terpaksa berpindah.

Pegawai Daerah Beaufort, Mohd Nazri Ajun.

“Kami mula mengemas tengah malam tadi dan terpaksa mengambil keputusan untuk berpindah sendiri ke PPS pada jam 3 pagi tadi,” katanya ketika ditemui hari ini.

Katanya lagi, akibat banjir yang melanda menyebabkan suasana sambutan Aidilfitri bertukar menjadi suram ketika Syawal baru masuk minggu kedua.

Asnidah Arase

“Semua kuih raya kami terpaksa kemas dan simpan kerana bimbang rosak. Minggu kedua biasanya keluarga masih datang berkunjung ke rumah tetapi disebabkan banjir semuanya bertukar suram,” katanya.

Seorang lagi penduduk Kampung Bakalau, Asnidah Arase, 35, berkata, bimbang dengan keselamatan anaknya yang masih kecil menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk berpindah sendiri ke PPS semalam.

“Anak saya yang kecil baru berusia setahun lebih dan saya bimbang jika air semakin naik menyebabkan kami sukar keluar dari kediaman.

“Jadi kami mengambil inisiatif untuk berpindah sendiri ke PPS kerana bimbang dengan keadaan air sungai yang mulai meningkat,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Beaufort, Mohd Nazri Ajun berkata, seramai 218 mangsa banjir dipindahkan ke PPS itu iaitu membabitkan penduduk dari Kampung Bakalau.

“Banjir kali ini berpunca daripada keadaan hujan lebat dan kita difahamkan empangan hidro Pangi di Tenom dibuka menyebabkan limpahan air sungai ke daerah Beaufort.

“Bagaimanapun, disebabkan Beaufort merupakan daerah yang kerap dilanda banjir, jadi persediaan sudah dibuat lebih awal termasuk dari segi untuk pemindahan mangsa banjir dan pasukan penyelamat,” katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati beberapa laluan sukar dilalui kenderaan ringan menyebabkan penduduk terputus hubungan.

Sebanyak 56 kampung dilaporkan terjejas selain jalan terputus akibat banjir di daerah ini kali ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|