PEWARTA hulur sumbangan kepada bekas wartawan

Lahad Datu: Selepas pertama kali disiarkan di Deasoka.com pada Mac lalu, nasib bekas wartawan, Norwahida Yamaluddin yang hampir terlantar selepas diserang angin ahmar, baru-baru ini terus mendapat perhatian ramai pihak.

Terbaharu, Persatuan Wartawan dan Pengamal Media Tawau (PEWARTA) tampil melawat Norwahida, 46 sambil menghulur sumbangan derma atas inisiaif persatuan berkenaan.

Pengerusi PEWARTA, Shamry Mohd Sani, berkata, pihaknya mengutip derma daripada rakan media, selain dana persatuan sendiri untuk disumbangkan kepada Norwahida bagi meringankan beban yang dihadapinya.

“Kita juga masih meneruskan usaha untuk membantu beliau mendapatkan bantuan daripada pihak yang berkaitan supaya beban yang dihadapinya dapat diringankan,” katanya, di sini.

Norwahida yang berpengalaman selama 25 tahun sebagai wartawan kini lumpuh separuh badan dan bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak sekali gus menyebabkan keadaan hidupnya berubah serta-merta.

Beliau yang juga dikenali sebagai Maya dalam kalangan rakan media, menjadi pemberita sejak 1996 dan pernah bertugas di beberapa agensi di Sabah sebelum menamatkan perkhidmatan kira-kira dua tahun lalu akibat masalah ekonomi syarikat disebabkan pandemik Covid-19.

Antara penghargaan tertinggi yang diterima Maya sepanjang perkhidmatanya ialah Pingat Kedaulatan Negara pada 2013, yang disampaikan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas insiden pencerobohan Tanduo di Lahad Datu.

Selain itu, Maya juga pernah menerima anugerah wartawan belia sebanyak dua kali sempena Hari Belia Negeri, Anugerah Shell pemberitaan (emas), penulisan rencana (emas) dan sukan (emas).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|