Tawau: Mahkamah Majistret Tawau hari ini memerintahkan seorang remaja lelaki melakukan khidmat masyarakat selama 150 jam sebagai hukuman selepas mengaku bersalah menunggang motosikal secara berbahaya tahun lalu.
Majistret Dzul Elmy Yunus menetapkan tempoh dua tahun untuk tertuduh melengkapkan khidmat masyarakat berkenaan dan memerintahkan lesen memandunya digantung sepanjang tempoh berkenaan.
Tertuduh berumur 19 tahun itu turut diperintahkan untuk menyempurnakan bon sebanyak RM2,000 tanpa cagaran dengan ibunya sebagai penjamin.
Dzul Elmy membuat penghakiman itu untuk memberi peluang kepada tertuduh atas faktor umur yang masih muda.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Batu 16 Jalan Apas, pada jam 11.12 malam, 30 Ogos 2021.
Tertuduh bersama sekumpulan penunggang yang lain dilihat melakukan aksi berbahaya ala-ala ‘Superman’ iaitu bertiarap di atas tempat duduk ketika menunggang motosikal.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda sehingga RM15,000.
Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menggunakan nombor pendaftaran motosikal palsu yang oleh didenda sehingga RM20,000 dan penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis, Asisten Superintendan Joan Lee.
-Deasoka