Bayi maut, ibu parah ditetak parang

Kinabatangan: Seorang bayi perempuan berusia enam bulan maut manakala ibunya parah selepas ditetak datuk saudaranya dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Ubi Sungai Pauh, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, telinga kiri mangsa berusia 35 tahun itu juga dilaporkan hampir putus akibat serangan lelaki terbabit.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian itu, pada 2.40 petang.

Katanya, bertindak atas maklumat itu, sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan telah bergegas ke lokasi kejadian.

Ibu bayi turut parah hingga telinga kirinya hampir putus.

“Setiba di lokasi mendapati bayi perempuan berusia enam bulan telah meninggal dunia akibat ditetak di bahagian kepala.

“Ibunya pula mengalami parah di bahagian belakang tengkuk dan telinga kirinya hampir putus akibat tetakan. Mangsa warga asing yang tiada dokumen pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Suspek yang diberkas polis di kawasan kebun sawit.

Dzulbaharin berkata, kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kinabatangan untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

“Pasukan polis kemudiannya mengesan dan menangkap suspek di kawasan kebun sawit di lokasi sama.

“Polis turut merampas sebilah parang yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk menetak mangsa,” katanya.

Menurutnya, suspek berusia 60 tahun warga Filipina dibawa ke IPD Kinabatangan untuk siasatan lanjut.

“Siasatan masih diteruskan bagi mengenalpasti punca kejadian dan suspek akan direman selama tujuh hari bermula hari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati sekiranya disabitkan kesalahan,” jelasnya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, beliau berkata, IPD Kinabatangan memohon kerjasama orang ramai yang mengenali penama iaitu Ismail Santara dan Ana Farhana Musa supaya memberitahu penama bahawa mereka adalah saksi penting perbicaraan kes membabitkan Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Tinggi Sandakan.

Katanya, polis mengalu-alukan orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kedua-dua saksi ini untuk memaklumkan kepada Bilik Gerakan IPD Kinabatangan di talian 089-561890 atau Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kinabatangan Asisten Superintendan Razali Basa di talian 019-6217357.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|