24 sekolah terjejas akibat banjir di Tenom dan Beaufort

Kota Kinabalu: Sebanyak 24 sekolah di daerah Tenom dan Beaufort disahkan terjejas akibat dilanda banjir, setakat hari ini.

Timbalan Pengarah, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Sabah, Abidin Marjan berkata, antara sekolah yang terlibat adalah 23 sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah.

Antara sekolah yang ditutup akibat banjir.

Katanya, 17 daripada sekolah terjejas adalah di daerah Beaufort manakala selebihnya pula di daerah Tenom.

“Antara sekolah yang terjejas akibat banjir kilat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SML) Saint Paul, Sekolah Kebangsaan (SK) Lago, SK Bukau, SK Klias Baru, SK Suasa, SK Mempagar, SK St Paul dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lian Hwa serta beberapa lagi sekolah berhampiran.

“Manakala di Tenom pula melibatkan SK Gumisi, SK Ladong Sapong, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Syn, SK Inubai, SK Pada, SK Mandalom dan Sekolah Inubai serta SK Sumambu,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, semua sekolah berkenaan membabitkan seramai 4,526 murid dan pelajar yang terjejas akibat banjir.

Katanya, semua sekolah berkenaan kini tidak dibenarkan beroperasi manakala SK Mandalom pula kini dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|