UMNO bangkit semula pada usia 76 tahun

UMNO bangkit semula pada usia 76 tahun

Kota Kinabalu: Sambutan ulang tahun ke-76 UMNO hari ini membawa makna yang besar kepada ahli parti itu untuk bangkit semula setelah melalui pelbagai cabaran termasuk kehilangan kuasa selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata ahli UMNO di semua peringkat perlu menanam iltizam untuk memperkukuhkan lagi parti terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Katanya, UMNO mampu kembali mentadbir negara berdasarkan rekod pencapaiannya sebelum ini, selain prestasi cemerlang yang dicapai dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka serta Johor.

“Masa akan kembali menyebelahi UMNO. Masyarakat ingin kembali menyokong UMNO. Sebagai parti tertua yang mentadbir negara selama 76 tahun, rekod kecemerlangan UMNO mengemudi negara tidak dapat dinafikan lagi.

“Rakyat percaya kestabilan hanya dapat dinikmati bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN) seperti dibuktikan dalam dua siri PRN iaitu Melaka dan Johor sebelum ini,” katanya dalam perutusan beliau sempena Uang Tahun UMNO Ke-76, hari ini.

Sehubungan, itu Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah meminta pemimpin dan ahli UMNO agar meneruskan perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan tanah air serta memayungi seluruh masyarakat negara ini.

Mengenai UMNO di Sabah, Bung Moktar berkata, anak bongsu UMNO yang kini mencapai usia 31 tahun itu masih relevan di hati rakyat Sabah.

Katanya, walaupun berlaku tsunami politik di negeri ini selepas PRU-14, namun UMNO masih kekal tanpa satupun daripada 25 bahagiannya dibubarkan.

“Ada yang tersasar perjuangan bersama UMNO selepas PRU-14, namun menginsafi tersalah jalan dan ingin kembali bersama UMNO.

“Sebagai parti yang mengamalkan pintu terbuka, kita bersedia menerima mereka kembali mengikut peraturan yang sedia ada,” katanya.

Tambahnya, sejak UMNO-BN bertapak di Sabah banyak perubahan dari aspek pembangunan dinikmati rakyat di negeri ini.

Bung Moktar juga berharap sambutan ukang tahun UMNO kali ini akan menjadi titik tolak kepada pemimpin dan ahli parti itu di semua peringkat untuk bangkit memperkasakan parti menghadapi PRU-15.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|