Covid-19 Sabah: Kenaikan kes akibat sambutan Aidilfitri, Kaamatan sudah mula berlaku

Kota Kinabalu: Ramalan peningkatan kes baharu Covid-19 sepanjang sambutan Aidilfitri dan Kaamatan sudah mula kelihatan sejak kebelakangan ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata hari ini saja Sabah mencatat kenaikan jangkitan baharu kepada 57 kes berbanding 39 kes semalam.

“Seperti yang telah diramalkan lebih awal, jangkitan harian akan meningkat semasa atau selepas sambutan perayaan Aidilfitri dan Kaamatan.

“Hari ini jumlah jangkitan baharu meningkat daripada 39 kes semalam kepada 57 kes, pertambahan sebanyak 18 kes,” katanya dalam kenyataan, petang ini.

Beliau berkata, secara keseluruhan lebih banyak daerah mencatat pertambahan jangkitan baharu berbanding daerah yang mencatatkan penurunan walaupun dalam kadar yang kecil hari ini.

Bagaimanapun, katanya sebanyak 10 daerah kekal ‘bersih’ daripada sebarang jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam yang lalu, manakala lima daerah masing-masing hanya mencatat satu kes baharu.

“Kota Kinabalu satu-satunya daerah yang mencatat kes baharu dua angka dengan jumlah jangkitan baharu yang lebih tinggi sebanyak 18 kes.

“Daerah Tuaran juga merekodkan pertambahan kes harian daripada dua kes semalam kepada tujuh kes hari ini, diikuti Penampang dan Sandakan masing-masing empat kes.

“Lahad Datu, Putatan, Ranau dan Tawau pula masing-masing mencatat tiga kes baharu, diikuti dua kes baharu direkodkan di Beaufort, Kuala Penyu dan Papar,” katanya.

Masidi turut mengulangi peringatannya kepada orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika menyambut perayaan khususnya jika membabitkan kehadirab ramai orang.

“Peratusan jangkitan sporadik masih tinggi iaitu 63 peratus daripada semua kes baharu yang dilaporkan hari ini. Risiko jangkitan tetap tinggi,” katanya.

Sementara itu, katanya seramai 54 orang daripada 57 pesakit baharu hari ini berada dalam Kategori 1 dan Kategori 2, dua orang dalam Kategori 4 dan seorang dalam Kategori 5.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 11 Mei 2022
Sabah 57 (39)

Kota Kinabalu 18 (11)
Tuaran 7 (2)
Penampang 4 (2)
Sandakan 4 (0)
Lahad Datu 3 (6)
Putatan 3 (1)
Ranau 3 (5)
Tawau 3 (1)
Beaufort 2 (1)
Kuala Penyu 2 (1)
Papar 2 (1)
Kota Belud 1 (0)
Kota Marudu 1 (1)
Nabawan 1 (1)
Semporna 1 (0)
Sipitang 1 (1)
Tenom 1 (1)
Beluran 0 (0)
Kalabakan 0 (0)
Keningau 0 (0)
Kinabatangan 0 (0)
Kudat 0 (1)
Kunak 0 (1)
Pitas 0 (0)
Tambunan 0 (1)
Telupid 0 (1)
Tongod 0 (0)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 10 Mei 2022

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|