Kota Kinabalu: Pengisytiharan perintah berkurung di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang diumumkan baru-baru ini hanya berkuatkuasa di sekitar kawasan perairan tiga batu nautika ke persempadanan antarabangsa.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pihaknya percaya, kekeliruan yang timbul dalam kalangan masyarakat berhubung perintah berkurung itu disebabkan gambar infografik yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Katanya, infografik berkenaan yang tular selepas itu memberi gambaran bahawa semua 10 daerah di kawasan ESSZONE perlu menuruti perintah berkurung dan dikehendaki berada di rumah bermula jam 6 petang sehingga jam 6 pagi.
“Kawasan terlibat dalam perintah berkurung bermula jam 6 petang hingga 6 pagi sehingga 25 Mei ini adalah di kawasan tiga batu nautika dari darat sehingga ke sempadan antarabangsa.
“Daerah yang terbabit dengan perintah berkurung itu ialah Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Jauteh berkata, tidak timbul isu semua penduduk di daerah ESSZONE dikenakan perintah berkurung dan dikehendaki berada di rumah mengikut masa ditetapkan seperti dijelaskan dalam kenyataan berkenaan.
Sementara itu, Jauteh mengesahkan pihaknya ada menerima satu laporan polis berkaitan infografik yang ditularkan itu.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan bersama Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak menyebarkan berita yang tidak sahih atau palsu. Kesalahan ini boleh didakwa mengikut kedua-dua seksyen berkenaan,” katanya.
-Deasoka