Penunggang motosikal maut

Ranau: Tindakan seorang lelaki menunggang motosikal secara melulu membawa padah apabila terbabas sebelum merempuh dua kenderaan di Kilometer 12 Jalan Ranau-Tamparuli, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.50 pagi itu, mangsa berusia 20-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai bergerak secara melulu dari arah Pine Resort menuju ke arah Pekan Kundasang.

Katanya, sebaik sampai di jalan selekoh berkenaan, mangsa dipercayai terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kenderaan yang bergerak dari arah depan.

“Akibat kejadian itu, mangsa terpelanting ke tengah jalan selepas bertembung dengan dua kenderaan termasuk sebuah pacuan empat roda dan mengalami kecederaan parah.

“Mangsa yang parah dibawa ke Hospital Ranau untuk rawatan susulan namun disahkan meninggal dunia pada jam 1.50 petang,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Simiun berkata, penunggang motosikal tidak disyaki mabuk namun darah akan diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisa alkohol dan dadah dalam darah.

Katanya, siasatan lanjut sedany dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Sehubungan itu, mana-mana saksi kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes Inspektor Syaurin Suhurani di talian 088-875222 sambungan 280 bagi membantu siasatan kes,”’katanya.

Sementara itu, Simiun menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati semasa memandu dan mematuhi peraturan-peraturan lalu lintas.

Katanya, elakkan daripada memandu secara merbahaya dan melulu supaya kemalangan jalanraya dapat dielakkan.

“Ingatlah orang yang tersayang dan bersama-sama kita menjaga keselamatan di atas jalan raya.

“PDRM Ranau mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang awam yang tampil menyalurkan maklumat berkaitan pesalah lalulintas,”katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|