Cubaan PATI menyusup masuk ke Tawau gagal

Tawau: Cubaan empat pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk masuk ke negara ini secara tidak sah berjaya digagalkan selepas ditahan di kawasan pinggir ladang kelapa sawit Jalan Apas, Membalua, di sini, semalam.

Semua PATI berusia 18 hingga 23 tahun itu ditahan pasukan Quick Reaction Force (QRF) Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2) menerusi Op Benteng jam 6.35 petang.

PATI yang berjaya ditahan di kawasan pinggir ladang kelapa sawit, Jalan Apas, Tawau.

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, ketika pihaknya menjalankan rondaan di kawasan berkenaan telah terserempak dengan empat individu yang mencurigakan bergerak secara berkumpulan bersama barangan persendirian.

Katanya, pasukan operasi bertindak menghampiri dan menahan semua individu terbabit bagi menjalankan pemeriksaan awal dokumentasi.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek terbabit tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Mereka juga mengaku dari Pulau Sebatik, negara jiran dan masuk ke daerah ini melalui perairan tanpa kebenaran yang sah,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, semua PATI terbabit ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 jika sabit kesalahan iaitu tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah,” katanya.

Sementara itu, Abdul Karim menzahirkan ucapan tahniah kepada semua anggota pasukan QRF dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kejayaan berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|