Cubaan rempuh, polis lepaskan tembakan

Beaufort: Tindakan dua pengedar dadah cuba merempuh polis mendorong pihak berkuasa melepaskan tembakan ke arah tayar kereta penjenayah terbabit dalam kejadian di Kampung Limbawang, di sini, malam tadi.

Kedua-dua lelaki berusia 31 dan 35 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan selepas kereta dinaiki mereka terbabas di tepi jalan yang sedang dinaiki air banjir di Jalan Melulugus, berhampiran Kolej Komuniti Beaufort.

Suspek menunjukkan dadah syabu di tempat duduk sebelah pemandu. Pix Ihsan IPD Beaufort 

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki berkata, kejadian pada 8.30 malam itu berlaku ketika pemerhatian dijalankan di sebuah rumah tanpa nombor oleh pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort.

Katanya, hasil pemerhatian itu, sebuah kereja jenis Proton Saga yang dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan masuk ke kawasan rumah berkenaan.

Dadah syabu yang ditemukan di dalam kereta suspek. Pix Ihsan IPD Beaufort 

“Pasukan serbuan mendekati kereta itu dan mengarahkan pemandu (suspek) berhenti namun suspek bertindak agresif dan terus memandu laju ke arah pasukan serbuan sehingga hampir melanggar anggota polis.

“Polis kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar bagi tujuan keselamatan diri dan untuk menghalang kereta berkenaan.

“Namun kereta itu terus memecut laju menghala ke Jalan Melulugus,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff berkata, pasukan serbuan terus mengejar kereta berkenaan sehingga di Jalan Melulugus berhampiran sebuah kolej dan kereta berkenaan terbabas di tepi jalan yang sedang dinaiki air banjir.

“Kedua-dua suspek kemudian bertindak melarikan diri namun berjaya diberkas. Hasil pemeriksaan di dalam kereta dinaiki suspek menemukan satu peket plastik lutsinar sederhana besar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah syanu seberat 6.11 gram di atas tempat duduk sebelah pemandu.

“Kedua-dua tangkapan dan rampasan dibawa balik ke IPD Beaufort untuk tindakan lanjut dan suspek juga didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine,” katanya.

Menurutnya, mengikut semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai jenayah lampau membabitkan penyalahgunaan dadah.

“Salah seorang suspek juga mengaku mendapatkan bekalan dadah syabu untuk diedar daripada seorang pengedar tempatan dan polis sedang menyiasat mengenainya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|