Kota Kinabalu: Kejadian kebocoran paip di Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) sudah diambil tindakan baik pulih dan kini berada dalam keadaan terkawal.
Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, kejadian paip bocor yang dilaporkan berlaku pada jam 10.58 pagi itu pada awalnya mengganggu operasi hospital.
Katanya, kejadian itu mengakibatkan limpahan air di stor unit sajian dan ruangan linen Sedafiat aras bawah tanah HQEII.
“Langkah segera yang diambil HQEII adalah dan syarikat konsesi adalah pemasangan paip pintasan.
“Kesan limpahan air juga sudah dibersihkan manakala proses baik pulih paip bocor sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya pada jam 8 malam, hari ini,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Rose Nani berkata, sebagai langkah berjaga-jaga, semua pembedahan bukan kecemasan (elektif) ditangguhkan.
Katanya, hanya pembedahan kecemasan saja yang dibenarkan dijalankan sehingga kerja-kerja baik pulih selesai sepenuhnya.
“Pihak HQEII dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah sedang bertungkus-lumus untuk menyelesaikan masalah paip bocor bagi memastikan perkhidmatan rawatan kesihatan tidak terjejas,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi tadi, kebocoran paip berlaku di tingkat bawah bangunan utama HQEII dan dilaporkan agak besar sehingga mengganggu operasi hospital.
Kejadian itu memaksa beberapa petugas hospital membersihkan air yang melimpah daripada siling turut tular di media sosial, sejak pagi tadi.
-Deasoka