Projek naik taraf Hospital Tawau dijadual siap akhir tahun ini

Projek naik taraf Hospital Tawau dijadual siap akhir tahun ini

Tawau: Projek menaik taraf Hospital Tawau yang mengalami kelewatan hampir dua tahun akan disiapkan sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata pihaknya akan memastikan pelaksanaan projek itu berjalan lancar dan tidak lagi tertangguh seperti sebelum ini.

Arthur (berjaket hijau) meninjau perkembangan projek naik taraf Hospital Tawau.

Katanya, sasaran itu penyiapan projek itu pada akhir tahun ini adalah hasil perbincangan bersama kontraktor dan pemantauan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan pelaksanaannya mengikut jadual yang ditetapkan.

“JKR memantau rapi pelan mitigasi, kemajuan kerja serta menilai prestasi kontraktor mengikut laporan kerja mingguan yang perlu mereka hantar.

“JKR tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan amaran sekiranya sasaran kerja kontraktor didapati tidak dicapai,” katanya ditemui ketika lawatannya ke tapak projek berkenaan, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Andi Muhammad Suryady Bandy.

Arthur berkata, setakat 31 Mac lalu, projek projek berkenaan berjalan lancar mengikut jadual yang ditetapkan dengan kemajuan kerja sebanyak 70 peratus.

Katanya, kontraktor perlu mencapai sasaran kemajuan kerja yang ditetapkan iaitu empat peratus setiap bulan perlu bagi memastikan baki kerja dapat disiapkan mengikut jadual.

“Kemajuan projek akan terus meningkat dengan mengambil kira pembekalan peralatan bagi kerja-kerja mekanikal, elektrik dan ICT serta peralatan perubatan yang dijangka tiba bermula bulan ini,” katanya.

Sementara itu, Arthur berkata, projek berkenaan akan menjadikan Hospital Tawau sebagai hospital terbesar di Pantai Timur Sabah dan dijadikan hospital rujukan bagi daerah berdekatan.

Katanya, kapasiti katil sedia ada ditambah sebanyak 154 katil menjadikan jumlah keseluruhan katil pesakit di hospital berkenaan sebanyak 555 katil.

“Selain itu, ia akan menempatkan enam bilik bedah, empat suite endoskopi, 30 unit haemodialisis, bahagian kecemasan baharu, klinik-klinik pakar, auditorium berkapasiti 250 orang dan kemudahan helipad,” katanya.

Projek yang menelan belanja kira-kira RM210 juta itu dimulakan pada 2017 dan dan dijadualkan siap pada 2020.

Bagaimanapun, pelaksanaannya tertangguh disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19, kekurangan pekerja dan kelewatan bahan binaan berpunca daripada penutupan kilang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|