Paip bocor pula di HQE II

Paip bocor pula di HQE II

Kota Kinabalu: Masalah gangguan bekalan elektrik yang dilaporkan berlaku di Hospital Queen Elizabeth (HQE) sejak semalam, bersambung pula dengan insiden kebocoran paip air di HQE II, hari ini.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, kebocoran paip yang berlaku di tingkat bawah bangunan utama HQE II dilaporkan agak besar sehingga mengganggu operasi hospital.

Kejadian yang memaksa petugas hospital membersihkan air yang melimpah daripada siling bangunan berkenaan turut tular di media sosial, sejak pagi tadi.

Menurut sumber, kejadian membabitkan paip di tingkat bawah sehingga semua pembedahan elektif yang sepatutnya dijalankan hari ini, terpaksa ditangguhkan.

Deasoka.Com berusaha untuk mendapatkan komen Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin berhubung kejadian paip bocor itu, namun belum ada maklum balas setakat ini.

Dalam kejadian tengah hari semalam, HQE dilaporkan mengalami gangguan elektrik sehingga mengakibatkan beberapa pesakit terpaksa dipindahkan ke HQE II dan dilaporkan setakat ini keadaan bekalan elektrik di hospital itu belum stabil sepenuhnya.

Dewan beda HQE juga ditutup hari ini hingga esok disebabkan bekalan elektrik yang belum stabil mengakibatkan 28 pembedahan bukan kecemasan terpaksa ditangguhkan.

Rose Nani dalam kenyataannya berkata, gangguan elektrik membabitkan menara berkembar, klinik pakar dan blok perubatan lama di HQE bermula pada jam 11.54 pagi semalam sebelum dipulihkan menggunakan set janakuasa sedia ada dan set janakuasa mudah alih Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|