Kerosakan kabel bawah tanah punca gangguan elektrik di HQE

Kerosakan kabel bawah tanah punca gangguan elektrik di HQE

Kota Kinabalu: Kabel bawah tanah milik Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini, dikesan mengalami kerosakan dan menjadi punca gangguan bekalan elektrik yang berlaku sejak semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Ir Mohd Yaakob Jaafar berkata, pemeriksaan pihaknya tidak mengesan sebarang kerosakan terhadap peralatan milik syarikat utiliti itu yang menyalurkan elektrik ke HQE.

Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Ir Mohd Yaakob Jaafar

“Pemeriksaan terhadap sistem bekalan elektrik yang disalurkan SESB ke HQE mendapati kabel milik SESB berada dalam keadaan yang baik dan tidak mengalami sebarang kerosakan.

“Pasukan teknikal SESB sudah membuat ujian dan mendapati bahawa pepasangan milik SESB dalam keadaan yang baik. Punca gangguan bekalan adalah disebabkan sistem dalaman hospital,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Bekalan elektrik di HQE dilaporkan terganggu bermula jam 11.54 pagi semalam yang menjejaskan operasi di bangunan menara berkembar, klinik pakar dan blok bangunan perubatan lama hospital berkenaan.

Pemulihan bekalan kemudian dilakukan menggunakan dua set janakuasa sokongan HQE dan dua set janakuasa mudah alih SESB, namun bekalan elektrik difahamkan belum lagi stabil setakat ini.

Mohd Yaakob berkata, pemeriksaan lanjut mendapati gangguan bekalan elektrik di hospital itu berpunca daripada kerosakan kabel bawah tanah 11kV milik HQE.

“SESB bersedia untuk membantu pihak hospital melakukan ujian dan mengesan lokasi kerosakan kabel berkenaan jika diperlukan,” katanya.

Dalam kenyataan media tengah hari tadi, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin, berkata berikutan keadaan elektrik yang belum stabil, HQE terpaksa menutup operasi dewan bedah sepanjang hari ini dan esok.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|