‘Khemah besar’ sudah tidak berkesan – Mohd Shafie

‘Khemah besar’ sudah tidak berkesan – Mohd Shafie

Kota Kinabalu: Pendekatan ‘khemah besar’ dalam politik sudah tidak berkesan untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, rakyat mahukan pilihan dan perubahan dalam kepimpinan.

Mohd Shafie menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf di Kampung Sembulan, Kota Kinabalu.

“Kita beri keutamaan pada rumah kita dulu Warisan, kita tidak boleh terlalu fikir tentang khemah besar sana, khemah besar sini. Ada khemah besar di Melaka kalah, ada khemah besar di Sarawak pun kalah.

“Ini bukan soal khemah tetapi apa yang rakyat mahukan adalah pilihan, mereka mahu perubahan dalam kepimpinan,” katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa dengan masyarakat setempat di Kampung Sembulan, di sini, semalam.

Shafie menyapa penduduk kampung yang hadir pada majlis berbuka puasa di Kampung Sembulan, Kota Kinabalu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keperluan pendekatan khemah besar yang dicadangkan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Semporna itu berkata, biar rakyat memilih dan memutuskan pilihan mereka.

“Saya rasa rakyat sudah putuskan bahawa tiada pilihan, jadi kita kena lihat perkara itu. Kita tidak boleh gesa orang untuk terima apa yang kita mahu, kita kena sesuaikan dengan perubahan, kemahuan di akar umbi.

“Rakyat mahu sesuatu yang berbeza, mereka mahukan perubahan, bukan sekadar kata-kata, tetapi perbuatan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|