Angka mangsa terjejas fenomena air pasang, banjir terus catat peningkatan

Angka mangsa terjejas fenomena air pasang, banjir terus catat peningkatan

Kota Kinabalu: Jumlah mangsa terjejas akibat fenomena air pasang besar dan banjir di negeri ini terus meningkat dengan 829 orang dicatatkan, setakat 4 petang ini.

Menerusi satu kenyataan, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan bahawa, jumlah itu membabitkan sebanyak 196 Ketua Isi Rumah (KIR) daripada tiga buah daerah.

“Daerah Pitas masih mencatatkan angka tertinggi, dengan 661 mangsa daripada 148 KIR, manakala daerah Kota Belud kini mencatatkan 123 mangsa membabitkan 34 KIR.

“Proses pemindahan mangsa di Kota Belud masih lagi diteruskan berikutan kawasan-kawasan rendah hotspot banjir.

“Sementara itu, daerah Kota Kinabalu mencatatkan 45 mangsa daripada 14 KIR,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Manakala, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang beroperasi menempatkan mangsa-mangsa terkesan kekal sebanyak lapan buah.

“Sebanyak enam PPS beroperasi di Pitas, iaitu Dewan Kampung Mempakad (163 mangsa), Balai Raya Agropolitan Kampung Pinggan-Pinggan (218 mangsa), dan Dewan Terbuka Kampung Salimpodon (13 mangsa).

“Selain itu, ialah Gereja SIB Kg Luntuk (79 mangsa), Dewan Terbuka Kampung Rosob (156 mangsa) dan Dewan SMK Pinggan-Pinggan (32 mangsa).

“Manakala, di Kota Belud hanya satu PPS yang beroperasi iaitu Dewan SJK (C) Chung Hwa yang menempatkan 123 mangsa.

“Setakat ini, di Kota Kinabalu juga hanya satu PPS beroperasi iaitu Dewan Muhibbah Sembulan yang menempatkan 45 orang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|