Penyelarasan antara agensi penting bila berlaku bencana – Armizan

Penyelarasan antara agensi penting bila berlaku bencana – Armizan

Kota Kinabalu: Penyelarasan tugas di antara agensi-agensi berwajib penting bagi memastikan respon terhadap bencana dapat dilakukan secara efisyen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia sekali gus dapat mempercepatkan penyaluran bantuan kepada mangsa yang terkesan.

Armizan menyampaikan sumbangan kepada mangsa fenomena air pasang di Kampung Tanjung Aru Baru, Kota Kinabalu.

“Ada pasukan yang mengurus bencana dan ada pastikan ada pasukan untuk menyemak data-data, salurkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Kemudian kita akan terus menyalurkan peruntukan untuk disalurkan oleh jawatankuasa pengurusan bencana di peringkat daerah.

Antara rumah atas air di Kampung Tanjung Aru Baru yang terjejas akibat fenomena air pasang dan ombak tinggi baru-baru ini.

“Kita berharap agar benda itu dapat dilaksanakan. Agensi-agensi kita, khususnya agensi penyelamat, ketika berlaku bencana, pastinya keutamaan mereka adalah operasi menyelamat dahulu.

“Itu yang perlu diutamakan dan kemudian kita akan melihat kepada pasca bencana dan bantuan-bantuan yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas tinjauan di Kampung Tanjung Aru Baru yang terjejas akibat fenomena air pasang dan ombak besar baru-baru ini.

Katanya, beliau difahamkan seramai 210 mangsa daripada 39 Ketua Isi Rumah (KIR) dilaporkan terkesan dalam kejadian tersebut.

Selain ingin bersama-sama dengan mangsa yang terkesan, beliau juga ingin melihat pelaksanaan pengurusan bencana di peringkat akar umbi.

“Pengurusan bencana di negara kita digerakkan melalui tiga jawatankuasa iaitu jawatankuasa pengurusan bencana di peringkat pusat, kedua adalah peringkat negeri, dan di peringkat lebih mikro.

“Semua pengurusan ini melibatkan kerjasama rapat daripada pelbagai agensi kerjaaan khususnya, termasuklah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

“Jadi kita kumpulkan secara menyeluruh, merangkumi pelbagai agensi kerajaan, termasuklah juga badan-badan bukan kerajaan (NGO), sekiranya berlaku bencana mereka juga terlibat memberikan bantuan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelaksanaan serta kerjasama itu akan diteliti dari masa ke semasa dan ditambah baik mengikut keadaan.

“Alhamdullilah, di tempat-tempat yang kita pergi, saya melihat kerjasama dan penyelarasan itu semakin baik,” katanya lagi.

Turut hadir ialah Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|