Angka mangsa terjejas banjir, air pasang besar terus meningkat

Angka mangsa terjejas banjir, air pasang besar terus meningkat

Kota Kinabalu: Setakat jam 4 petang ini, jumlah mangsa terjejas banjir dan air pasang besar di negeri ini adalah seramai 1,363 orang daripada 316 Ketua Isi Rumah (KIR).

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah berkata, jumlah itu membabitkan empat daerah, iaitu Pitas, Kota Belud, Kota Kinabalu dan Sandakan.

“Daerah Pitas masih mencatatkan jumlah mangsa terkesan yang tertinggi, iaitu seramai 721 orang. Diikuti dengan Sandakan (376 orang), Kota Belud (212 orang) dan Kota Kinabalu (54 orang).

“Trend semasa situasi di negeri ini masih meningkat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi di seluruh negeri adalah sebanyak 10 buah.

“Enam daripadanya terdapat di Pitas, iaitu Balai Raya Agropolitan Kampung Pinggan-Pinggan (277 orang), Dewan Kampung Mempakad (163 orang), dan Dewan Terbuka Kampung Rosob (156 orang).

“Selain itu, ialah Gereja SIB Kampung Luntuk (79 orang), Dewan SMK Pinggan-Pinggan (33 orang) dan Dewan Terbuka Kampung Salimpodon (13 orang).

“Manakala, terdapat dua PPS aktif di Kota Belud, iaitu Dewan SJK (C) Chung Hwa (150 orang) dan Dewan SK Pekan (62 orang).

“Sementara di Kota Kinabalu dan Sandakan masing-masing kekal dengan satu PPS aktif, iaitu Dewan Muhibbah Sembulan (54 orang) dan SK Sungai Anib 2 (376 orang),” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|