Sidang khas DUN penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas Sabah 10 Januari

Sidang khas DUN penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas Sabah 10 Januari

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri akan membawa usul penyerahan semula kuasa mengawal selia bekalan gas daripada kerajaan persekutuan kepada Sabah pada persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN), 10 Januari depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata persidanganan itu bagi membahaskan penyerahan kuasa berkenaan susulan keputusan Kabinet persekutuan pada 21 Disember lalu yang meluluskan perkara berkenaan.

Katanya, perkara itu penting kerana ia sudah lama diperjuangkan oleh pemimpin negeri ini menerusi tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang sudah lama dibincangkan dengan kerajaan persekutuan.

“Perkara ini sudah lama diperjuangkan oleh pemimpin kita termasuklah Datuk Seri Dr Maximus Ongkili ketika beliau menjadi menteri persekutuan sebelum ini.

“Pada 10 Januari ini kita akan mengadakan satu sidang khas DUN untuk menerima penyerahan kawal selia gas ini ke Sabah,” katanya kepada pemberita pada rumah terbuka sambutan Krismas Parti Bersatu Sabah (PBS), di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan timbalannya yang juga Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan keputusan Kerajaan Perpaduan pimpinannya untuk menyerahkan semula kuasa kawal selia bekalan gas kepada Sabah.

Pelaksanaan perkara itu katanya bermula selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, manakala di Sarawak sudah dilaksanakan.

Hajiji berkata, penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas itu adalah antara perkara yang diperjuangkan Sabah bagi memastikan hak negeri dalam MA63 ditunaikan sepenuhnya.

“Kita berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana inilah yang kita perjuangkan selama ini untuk memastikan bahawa hak kita dalam MA63 dapat ditunaikan.

“Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri (sekarang) telahpun menunjukkan kesediaan mereka untuk menyerahkan hak kita iaitu kepada negeri Sabah dan juga Sarawak,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|