Penangguhan pembayaran balik untuk peminjam terjejas akibat bencana

Penangguhan pembayaran balik untuk peminjam terjejas akibat bencana

Penampang: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan membantu rakyat terutamanya penjaja dan peniaga kecil yang terkesan akibat bencana di seluruh negara.

Antara bantuan yang disediakan termasuk mewujudkan tabung bencana menerusi koperasi sebanyak RM2 juta untuk membantu mangsa-mangsa banjir.

Datuk Ewon Benedick (Menteri KUSKOP)

Menteri KUSKOP, Datuk Ewon Benedick berkata, kementeriannya juga akan turut membantu para peniaga dan penjaja dengan menangguhkan bayaran balik kepada agensi seperti Amanah Ikhtihar Malaysia (AIM) serta Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.

Katanya, penangguhan bagi satu tempoh sehingga enam bulan dijalankan supaya keutamaan keperluan segera dapat diberikan kepada rakyat untuk menguruskan hal-hal kecemasan.

“Kita sedar ramai rakyat terutamanya peniaga kecil-kecilan dan penjaja terkesan dengan bencana yang berlaku di seluruh negara ketika ini.

“Kita mempunyai perasaan belas kasihan kepada mereka yang berdepan bencana terutamanya di Kelantan dan Terengganu serta beberapa kampung terjejas di daerah Penampang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Sempena Sambutan Krismas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedict bersama Usahawan Parlimen Penampang, di sini, hari ini.

Sementara itu Ewon berkata, kehadiran ramai pihak termasuk Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan pimpinan negeri pada majlis hari ini menunjukkan hubungan baik antara kerajaan persekutuan dan negeri.

Katanya, ia sudah pasti amat menggalakkan kerjasama baik dalam membawa kebaikan kepada negeri Sabah di masa akan datang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|