Ambil tindakan segera bendung serangan buaya – Mohamaddin

Ambil tindakan segera bendung serangan buaya – Mohamaddin

Lahad Datu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi menggesa pihak berwajib mengambil langkah terbaik bagi membendung serangan buaya di daerah ini.

Gesaan itu disuarakan Mohamaddin susulan kejadian serangan buaya membabitkan seorang lelaki dan anaknya yang tular di media sosial hari ini.

Datuk Mohamaddin Ketapi

“Kita berasa kesal kerana kemalangan akibat serangan binatang buas sudah ditahap menggusarkan keselamatan warga setempat.

“Justeru itu, pihak pejabat ini dengan segera akan berhubung dengan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Daerah, PDRM Lahad Datu dan Jabatan Hidupan Liar Sabah.

“Ia bagi membincangkan serta mengambil langkah terbaik bagi membendung serangan binatang buas seperti ini di masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan takziah kepada pihak keluarga mangsa atas kemalangan jiwa yang berlaku, dipercayai akibat serangan binatang buas.

“Pihak pejabat juga menggesa orang ramai terutama warga Segama untuk mengambil langkah berhati-hati dalam melaksana aktiviti luar yang berisiko ancaman binatang buas,” katanya lagi.

Terdahulu, dalam kejadian di perairan Markas Operasi Pasukan Gerakan Marin (PPM), seorang lelaki mengalami cedera parah manakala anak lelakinya dilaporkan hilang selepas dibaham buaya.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 10 pagi itu menyebabkan bapa kanak-kanak terbabit dilaporkan parah, dengan kecederaan di beberapa bahagian badan dan kepala akibat gigitan buaya berkenaan dan telah dirawat di Hospital Lahad Datu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|