Pendaki Gunung Kinabalu cedera terjatuh diselamatkan

Pendaki Gunung Kinabalu cedera terjatuh diselamatkan

Ranau: Seorang wanita diselamatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) selepas mengalami kecederaan akibat terjatuh ketika mendaki gunung di kawasan kilometer 6.7, di sini, hari ini.

Wanita warga tempatan berusia 57 tahun itu dilaporkan mengalami kecederaan di kepala dan muka.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.15 pagi.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan sembilan anggota dan pegawai termasuk MOSAR serta Malim Gunung dan anggota Taman-Taman Sabah (TTS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi mangsa, pasukan MOSAR terus memberikan rawatan awal bagi memastikan mangsa dalam keadaan stabil dan selamat.

“Mangsa diberi rawatan awal oleh ParkSAR di Bilik Rawatan Awal (Sick Bay) Panarlaban dengan mencuci luka dan membalut luka di bahagian muka mangsa,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudiannya turun ke Timpohon Gate dengan diiringi oleh pasukan Mosar dan Malim Gunung.

Katanya, mangsa kemudiannya meminta untuk dihantar pasukan EMRS ke Hospital Ranau untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 3.18 petang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|