Bapa parah, anak hilang diserang buaya

Bapa parah, anak hilang diserang buaya

Lahad Datu: Cubaan seorang lelaki bertarung nyawa demi menyelamatkan anaknya yang disambar buaya tidak kesampaian apabila kanak-kanak terbabit hilang dilarikan reptilia berkenaan dalam kejadian berhampiran Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM), di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, kanak-kanak lelaki berusia setahun terbabit dilaporkan masih hilang manakala bapanya berusia 40-an kini dirawat di Hospital Lahad Datu.

Lelaki yang cedera ketika cuba menyelamatkan anaknya yang dibaham buaya di perairan berhampiran Markas Operasi PPM Lahad Datu.

Difahamkan, bapa kanak-kanak terbabit dilaporkan parah dengan kecederaan di beberapa bahagian badan dan kepala akibat gigitan buaya berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.25 pagi.

Pasukan bomba menjalankan operasi mencari kanak-kanak lelaki yang dibaham buaya.

Katanya, sepasukan enam anggota dan pegawai bomba terus dikerah bergegas ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat.

“Mangsa adalah seorang lelaki Palauh bersama anaknya yang dipercayai diserang buaya ketika mendayung sampan di lokasi.

Lelaki yang cedera ketika cuba menyelamatkan anaknya yang dibaham buaya di perairan berhampiran Markas Operasi PPM Lahad Datu.

“Lelaki dewasa terbabit berjaya diselamatkan orang awam namun mengalami kecederaan parah akibat serangan haiwan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sumsoa berkata, kanak-kanak masih gagal dikesan dan operasi sedang dijalankan untuk mengesan mangsa.

Katanya, operasi turut dibantu oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|