Kerajaan negeri sumbang RM100,000 untuk Majlis Anugerah Kewartawanan Kinabalu

Kerajaan negeri sumbang RM100,000 untuk Majlis Anugerah Kewartawanan Kinabalu

Kota Kinabalu: Sokongan Kerajaan Negeri terhadap media di Sabah diteruskan dengan sumbangan RM100,000 bagi Majlis Anugerah Kewartawanan Kinabalu (KPA) 2022.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan Negeri menghargai sumbangan media di Sabah dalam menyebarkan rancangan pembangunan, khususnya di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Media arus perdana digesa untuk menyediakan berita yang tepat dan berfakta bagi menangkis pelbagai berita palsu dalam media sosial,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan itu kepada Persatuan Wartawan Sabah (SJA) yang diketuai oleh Presidennya, Datuk Muguntan Vanar.

Sementara itu, Muguntan berkata, acara tahunan itu diadakan secara bersama dengan sokongan kerajaan negeri Sabah, bertujuan untuk mengiktiraf kerja cemerlang wartawan Sabah dan Labuan dalam media cetak, dalam talian dan penyiaran.

Menurut beliau, sejumlah 270 penyertaan telah diterima pada tahun ini untuk 23 kategori yang terdiri daripada penyiaran, bahasa Inggeris, bahasa Malaysia dan bahasa Cina.

“SJA mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri atas sokongan berterusan dan persetujuan kerajaan negeri untuk memberi penghormatan kepada KPA tahun ini,” katanya.

Untuk rekod, Hajiji dijangka akan menghadiri majlis itu sebagai tetamu kehormat, yang akan diadakan di Hotel Pacific Sutera pada 18 Disember depan.

-Deasoka

Share

Written by:

error: Content is protected !!