Adik Jude belum ditemui, SAR disambung esok

Adik Jude belum ditemui, SAR disambung esok

Beaufort: Usaha mencari dan menyelamat Jude Angel Jeremy berusia 18 bulan yang hilang di Kampung Saliwangan Baru, Batu 66, di sini, akan disambung semula, esok pagi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, setakat ini, mangsa masih gagal ditemui walaupun lokasi pencarian diperluaskan dan dibahagikan kepada dua kawasan.

Pasukan menyelamat turut menjalankan operasi SAR Jude Angel di kawasan hutan.

Katanya, pencarian di kawasan pertama dijalankan satu pasukan yang dianggotai JBPM Beaufort, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA, badan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk kampung.

“Pencarian ini dijalankan dengan menyusuri tepi sungai dari Batu 66 ke Batu 60 dan kawasan pokok pisang serta belukar kelapa sawit dengan radius lima kilometer dari Pos Kawalan Bomba.

Pasukan menyelamat yang menjalankan operasi SAR Jude Angel di kawasan sungai.

“Manakala kawasan dua pula membabitkan pasukan bomba dan APM yang menggunakan bot untuk pencarian permukaan air dari Kampung Melulugus Batu 60 Sungai Padas sejauh 35 kilometer,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa belum ditemui dan operasi SAR ditangguh pada 5.30 petang tadi.

“Sebarang maklumat terkini akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

Terdahulu, adik Jude Angel yang dijaga neneknya dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar dari rumah keluarga berkenaan, Sabtu lalu.

Mangsa dipercayai sesat di hutan ataupun terjatuh ke sungai berhampiran.

Sementara itu, dalam operasi berasingan di Kinabatangan, kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang dipercayai lemas selepas hilang di Sungai Kinabatangan di Kampung Batu Putih, di sini, semalam, turut ditangguh dan akan disambung esok.

“Mangsa belum ditemui dan operasi SAR ditangguhkan pada 5 petang tadi dan akan disambung esok pagi,”katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|