Kota Kinabalu: Pengeluar bahan kimia pertanian dan mekanisasi perladangan untuk tanaman padi, Agricultural Chemicals (M) Sdn Bhd (ACM) mewujudkan jalinan kerjasama dengan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah ke arah meningkatkan hasil padi di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Cheong, berkata ia termasuk untuk mengatasi isu logistik yang melambatkan penghantaran racun ke semua Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di negeri ini sebelum diedar kepada pesawah.
Katanya, isu logistik menjadi cabaran utama dihadapi syarikat itu dan ia perlu diatasi bagi memastikan input pertanian seperti racun dapat dihantar dengan cepat kepada petani mengikut masa yang ditetapkan dalam proses penanaman padi.
“Melalui perbincangan di antara PPN Sabah dengan ACM, kita bersetuju untuk menambah baik aspek logistik, iaitu macam mana untuk melajukan lagi penghantaran input pertanian dengan kerjasama PPN Sabah.
“Logistik dan ‘warehouse’ penting untuk bawa input pertanian lebih cepat kepada petani kerana sangat mustahak untuk memastikan input pertanian sampai kepada petani mengikut masa yang tepat,” katanya pada sidang media sempena majlis makan malam ACM dan PPN Sabah, di sini, malam tadi.
Sementara itu, Kevin berkata dalam proses untuk membekalkan input pertanian, ACM turut menekankan aspek ketelusan bagi memastikan bantuan input subsidi kerajaan sampai mengikut sasaran yang ditetapkan.
Katanya, perkara itu turut ditekankan dalam kerjasama dengan PPN Sabah bagi membantu program peningkatan hasil padi melalui pendekatan baharu yang dilaksanakan ACM.
“ACM melaksanakan pendekatan ‘Centrally Manage Farming System’ (CMFS) yang menggunakan konsep ‘Supply-Delivery-Apply’ (SDA).
“Ia adalah satu pendekatan terbaharu yang diperkenalkan oleh ACM ke arah mengatasi isu ketirisan pembekalan bantuan input subsidi kerajaan sekali gus berupaya memastikan semua peruntukan subsidi kerajaan mencapai sasaran sebenar, khususnya untuk tanaman padi,” katanya.
Pada masa yang sama, katanya ACM juga akan menambah rangkaian Pusat Khidmat Rakan Ladang (PKRL) ke lebih banyak PPK di Sabah berbanding hanya satu ketika ini iaitu di PPK Keningau.
Katanya, PKRL yang berperanan sebagai Pusat Sehenti akan menjadi tempat untuk proses pemindahan teknologi (TOT), selain membawa ACM agar lebih dekat kepada petani di Sabah.
Dalam hal berkaitan, Kevin berkata syarikat pengeluar input pertanian, khususnya baja dan racun kimia kini berdepan cabaran besar untuk mengekang impak kenaikan kos pengeluaran daripada menjejaskan petani.
Jelasnya, kenaikan kos bahan untuk menghasilkan input pertanian yang mencecah hingga 50 peratus disebabkan situasi luar kawalan yang berlaku di peringkat global memberi kesan besar kepada industri pertanian.
“Bagaimanapun, kita cuba kawal kos pengeluaran supaya tidak tinggi sangat. Sebab itu kita bekerjasama dengan PPN supaya proses penghantaran input pertanian dapat dilaksanakan dengan lebih cekap bagi mengurangkan kos,” katanya.
ACM yang beribu pejabat di Pulau Pinang adalah syarikat yang mempelopori industri pengeluaran bahan kimia pertanian serta peralatan mekanisasi perladangan khususnya untuk tanaman padi di negara ini sejak 1969.
Bermula pada 2008 hingga kini, ACM diberi tanggung jawab sebagai pembekal input pertanian melalui Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP).
-Deasoka