Penyokong Sabah FC jadi pembakar semangat lawan JDT

Penyokong Sabah FC jadi pembakar semangat lawan JDT

Kota Kinabalu: Sabah FC memerlukan sokongan padu penyokong setia sebagai pembakar semangat dalam pertemuan dengan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim FC (JDT) di Stadium Likas, malam esok.

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee berkata ia penting bagi memastikan Sabah FC tidak kehilangan mata ketika bermain di hadapan penyokong tegar mereka.

Katanya, pemain perlu meningkatkan fokus serta berdisiplin bagi mengekalkan momentum sedia ada agar tidak kehilangan mata.

“Ketika ini persaingan kedudukan di tangga pertama dan kedua Liga Super sangat sengit. Ini sudah pasti menjadikan perlawanan pada Jumaat nanti bertambah sengit.

“Kita anggap semua perlawanan adalah sangat penting lebih-lebih lagi apabila bertemu dengan pasukan pilihan seperti JDT ini.

“Persiapan kita seperti biasa, seperti yang dilalui sebelum-sebelum ini. Tiada perbezaan dan kita tahu bermain dengan JDT kita pasti ingin mendapatkan sesuatu dalam perlawanan ini nanti,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sementara itu, Kim Swee berkata masih terlalu awal untuk meletakkan sasaran walaupun Sabah FC sudah membuktikan dengan apa yang telah dilalui sekali gus membolehkan skuad The Rhinos berada dalam kelompok tiga pasukan terbaik ketika ini.

“Kita tahu ini bukan satu perkara mudah. Pemain kita sudah berusaha dengan begitu gigih. Kita tidak akan terhenti di sini kerana masih mempunyai 11 atau 12 baki perlawanan perlu dilalui agar berada pada landasan yang betul,” katanya.

Ketika mengulas mengenai peluang malam esok, Kim Swee berkata sudah tentu dengan kemenangan akan memberikan keyakinan cukup tinggi kepada pasukan Sabah FC.

“Kita tidak boleh terlalu memikirkan tentang kemenangan….Apa yang penting adalah kekal fokus, berdisiplin ketika kita bermain sepanjang perlawanan nanti,” katanya.

Menurutnya, pasukan JDT mempunyai pemain yang cukup berkualiti untuk menukar permainan dalam sekelip mata tanpa disedari.

“Kita tidak boleh terburu-buru…perlu menggandakan usaha jika ingin mencapai kejayaan atau sekurang-kurangnya untuk mendapatkan sebarang mata,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|