Hajiji alu-alukan penerbitan filem berkaitan sejarah Sabah

Hajiji alu-alukan penerbitan filem berkaitan sejarah Sabah

Kota Kinabalu: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengalu-alukan penerbitan lebih banyak filem berkaitan sejarah Sabah dan pembentukan Malaysia.

Katanya, penerbitan filem sejarah seperti ‘Silence of the 177’ yang mengisahkan ‘survival’ dan pengorbanan dalam peristiwa pemberontakan Jesselton dapat memberi pendedahan kepada generasi muda berkaitan apa yang berlaku pada 1943 itu.

Hajiji bermesra bersama belia yang menghadiri pra pelancaran promosi filem Silence of The 177 dan majlis Santai Belia Bersama Ketua Menteri Menyaksikan Tayangan Filem Mat Kilau di GSC Suria Sabah, Kota Kinabalu.

Beliau berkata, penerbiran filem berkaitan sejarah Sabah, pembentukan Malaysia dan kenegaraan dapat mengangkat dan memartabatkan sejarah negeri serta negara.

“Filem sedemikian juga dapat memupuk rasa cinta terhadap tanah air dan semangat nasionalisme dalam kalangan penonton terutamanya generasi muda.

“Kita mahu generasi muda faham dan tahu sejarah negeri dan negara,” katanya pada pra pelancaran promosi filem ‘Silence of the 177’ hasil arahan pengarah filem prolifik Sabah, Marcellus Abas (Marc Abas).

Selain pra pelancaran itu, Hajiji turut menghadiri majlis Santai Belia Bersama Ketua Menteri Menyaksikan Tayangan Filem ‘Mat Kilau’ anjuran Majlis Belia Sabah dan Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) Jabatan Ketua Menteri di Golden Screen Cinemas (GSC), Suria Sabah, di sini, malam tadi.

Lebih 270 belia menyertai program santai itu yang diadakan sempena sambutan Hari Belia Negara 2022.

Hadir sama ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim; Menteri Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Ellron Angin; Pembantu Menteri Belia dan Sukan, Andi Muhammad Suryady Bandy; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong dan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip.

Hajiji juga mengalu-alukan orang ramai agar datang menonton filem ‘Silence of 177’ yang dijangka akan ditayangkan sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September depan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|