Ribuan penyokong berbaris beli tiket perlawanan Sabah FC vs JDT

Ribuan penyokong berbaris beli tiket perlawanan Sabah FC vs JDT

Kota Kinabalu: Hampir 5,000 penyokong dan peminat bola sepak tidak melepaskan peluang berbaris panjang untuk mendapatkan tiket di kaunter Stadium Likas, di sini, hari ini.

Malah, ada antara ribuan penyokong turut berkampung sejak tengah malam tadi, bagi mendapatkan tiket perlawanan di antara Sabah FC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), malam esok.

Penyerang Sabah FC, Baddrol Bakhtiar menemui penyokong Sabah FC yang berbaris membeli tiket perlawanan Sabah FC vs JDT di Stadium Likas sambil mengagihkan minuman.

Tinjauan Deasoka.Com di Stadium Likas juga mendapati, ada yang sanggup meredah perjalanan jauh dari kawasan luar daerah semata-mata untuk memastikan tidak terlepas perlawanan Liga Super berkenaan.

Barisan peminat yang ingin membeli tiket juga sudah mengelilingi kawasan parkir stadium yang dianggarkan melebihi 300 meter.

Carl Calvianter

Salah seorang penyokong yang ditemui, Carl Calvianter, 26, berkata, dia datang Stadium Likas untuk mendapatkan tiket sejak jam 3.30 pagi tadi.

Katanya, dia yang tinggal di daerah Tenom yang terletak kira-kira 150 kilometer dari ibu negeri terpaksa bersengkang mata untuk menyaksikan perlawanan yang disifatkan sebagai buku bertemu ruas.

“Saya memulakan perjalanan dari Tenom lewat malam tadi sebelum sampai di Stadium Likas kira-kira jam 3.30 pagi.

“Walaupun amat memenatkan namun bersyukur kerana dapat membeli dua tiket untuk perlawanan malam esok,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Carl berkata, selepas ini dia terpaksa memandu pulang ke rumahnya di Tenom dan akan kembali semula ke Kota Kinabalu petang esok.

Ramadan Abdullah

Seorang lagi peminat Sabah FC, Ramadan Abdullah, 19, berkata, dia tidak menyangka sambutan penyokong bola sepak pasukan ini amat luar biasa.

Katanya, walaupun menyedari kesukaran yang bakal ditempuhi, namun dia akan berbaris untuk mendapatkan tiket malam esok.

“Saya akan cuba bebaris di sini untuk mendapatkan tiket walaupun agak sukar dengan kehadiran luar biasa di stadium ini, hari ini.

“Tapi sekiranya gagal mendapatkan tiket, saya dan rakan-rakan akan memberi sokongan menerusi siaran langsung malam esok,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|