Usaha pencarian Jude Angel masih temui jalan buntu

Usaha pencarian Jude Angel masih temui jalan buntu

Beaufort: Pelbagai usaha mencari adik Jude Angel Jeremy, 18 bulan, yang hilang di Kampung Saliwangan Baru, Batu 66, di sini, masih menemui jalan buntu.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, antara usaha yang dilakukan termasuk menggunakan khidmat unit anjing pengesan K9 polis.

Operasi mencari dan menyelamat kanak-kanak hilang diteruskan dengan kerjasama pelbagai agensi hari ini.

Katanya, pencarian yang memasuki hari keenam itu juga dijalankan membabitkan keluasan radius dua kilometer, namun sehingga kini masih belum menemui sebarang petunjuk baharu.

“Pasukan unit K9 ini sudah diberikan baju mangsa untuk dihidu, tetapi usaha ini masih menemui jalan buntu setakat ini.

“Pasukan pencarian membabitkan empat pasukan keselamatan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ,” katanya ketika ditemui Deasoka.Com di lokasi pencarian, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, operasi pencarian turut dibantu penduduk kampung dan ia dipecahkan kepada beberapa kumpulan untuk pencarian di kawasan berbeza.

Sehubungan itu, Yusoff Zaki berkata, polis merakamkan penghargaan kepada kerjasama orang ramai dalam usaha mencari kanak-kanak ini.

“Kita juga meminta masyarakat untuk terus berdoa sehingga penemuan berjaya dilakukan dalam masa terdekat,” katanya.

Terdahulu, adik Jude Angel yang dijaga neneknya dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar dari rumah keluarga berkenaan, Sabtu lalu.

Mangsa dipercayai sesat di hutan ataupun terjatuh ke sungai berhampiran.

Deasoka.com turut berada di lokasi kejadian untuk membawa perkembangan kes dari semasa ke semasa menerusi live stream di Facebook dan media sosial lain.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|