Kota Kinabalu: Sebanyak 1,105 kompaun dikeluarkan serta merta oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) kepada orang awam sepanjang enam bulan Op Degil dilaksanakan pada tahun ini.
Kompaun itu dikenakan kepada individu atau premis yang didapati melakukan kesalahan mengotorkan atau membuang sampah di tempat awam di sekitar bandar Kota Kinabalu.
Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip berkata, DBKK melalui Jabatan Penguatkuasaan telah menjalankan Op Degil dan mengenakan kompaun atau saman serta merta di seluruh kawasan bandaraya Kota Kinabalu terutama di taman atau tempat awam dan tempat-tempat awam.
“Op Degil itu dijalankan setiap hari bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan menjaga
kebersihan bandar raya dan juga memberi pengajaran kepada individu-individu yang mengotorkan persekitaran.
“Sasaran operasi ini adalah kepada individu atau syarikat yang mengotorkan atau membuang sampah di tempat awam dan kesalahan yang selalu ditemui seperti membuang puntung rokok, tisu, botol minuman dan bekas makanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau lagi, di bawah kuasa Undang-Undang Kecil (UUK) Bandaraya Kota Kinabalu (Anti Sampah Sarap) 1984 Pindaan 2005, pesalah akan diberi pilihan sama ada membayar kompaun serta merta (COS) tidak kurang dari RM30 dan tidak lebih dari RM500 mengikut jenis dan jumlah sampah yang dibuang atau hadir di mahkamah saman serta merta (SOS).
“Jika pesalah disabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau dihukum Perintah Kehadiran Wajib (PKW) dengan melakukan kerja-kerja masyarakat selama empat jam sehari dalam tempoh tidak lebih tiga bulan,” jelasnya.
Noorliza berkata, sejak 2016 hingga 2022, seramai 691 pesalah telah dihadapkan ke mahkamah iaitu untuk SOS.
“Bermula bulan Januari sehingga 30 Jun tahun ini, sebanyak 1105 kompaun serta merta (COS) telah dikeluarkan,” katanya.
Sehubungan itu, Noorliza sekali lagi mengingatkan orang awam supaya bersama-sama menjaga kebersihan persekitaran bandar raya Kota Kinabalu.
“Op Degil (COS/SOS) ini akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan masyarakat sentiasa peka dan mengambil berat dalam menjaga kebersihan persekitaran bandar Kota Kinabalu,” katanya.
-Deasoka