Dua bulan lagi ‘jalan daif’ Sabah siap dibaiki

Dua bulan lagi ‘jalan daif’ Sabah siap dibaiki

Sandakan: Pasukan petugas khas Jalan Telupid-Sandakan melaksanakan tiga kaedah penyelesaian untuk mengatasi kesulitan pengguna akibat kerosakan jalan raya melibatkan laluan Jalan Persekutuan FT22 dari Sandakan ke Telupid.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup yang juga pengerusi pasukan itu berkata, tiga kaedah itu melibatkan penyelesaian jangka masa pendek, sederhana dan jangka masa panjang.

Arthur meninjau kerja pembaikan Jalan Sandakan-Telupid.

Katanya, bagi penyelesaian jangka masa pendek, sebanyak RM5 juta telah disalurkan kementerian itu untuk pelaksanaan kerja-kerja pembaikan segera di kawasan yang telah dikenal pasti.

Menurutnya, kerja pembaikan awalan telah dijalankan awal bulan ini dengan membaiki lokasi yang kritikal terlebih dahulu dan dijangka siap dalam tempoh dua bulan.

“Surat arahan kebenaran belanja telah dimajukan kepada JKR Sabah pada 22 Jun 2022. Senarai kerja pembaikan melibatkan lima lokasi Jalan Persekutuan FT22, Jalan Kota Kinabalu – Sandakan.

“Ia membabitkan seksyen 173-174, seksyen 174-175, seksyen 175-176, seksyen 176-177 dan seksyen 143-144 yang meliputi kerja-kerja berkala penurapan mengikut keutamaan di daerah Telupid.

“Berdasarkan status semakan semasa sehingga hari ini, kerja-kerja tizikal telah bermula dan dijangka akan siap dalam tempoh dua bulan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat pasukan petugas khas Jalan Telupid-Sandakan di Pejabat Tapak Pakej 28 Lebuhraya Pan Borneo, di sini, hari ini.

Arthur berkata, bagi kaedah penyelesaian jangka masa sederhana antaranya JKR Sabah akan melaksanakan pemeriksaaan terhadap pelan pengurusan trafik di tapak secara berkala untuk memastikan kontraktor sentiasa mematuhi aspek keselamatan jalan raya ketika pembinaan.

Selain itu, katanya perabot-perabot jalan di Jalan Persekutuan juga akan ditambah baik dengan menambah papan tanda amaran mengikut kesesuaian lokasi serta kerjasama secara berterusan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Beliau berkata, had laju ketika pembinaan untuk projek Lebuhraya Pan Borneo juga akan dikaji semula untuk mengurangkan risiko kemalangan pengguna jalan raya.

Sementara itu, penyelesaian jangka masa panjang katanya adalah melalui projek Lebuhraya Pan Borneo yang sedang dilaksanakan kerajaan bagi menyediakan kemudahan
infrastruktur yang selamat dan selesa di negeri ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|