700 rumah atas air musnah kebakaran di Tawau

700 rumah atas air musnah kebakaran di Tawau

Tawau: Dianggarkan 700 rumah atas air di Kampung Kurnia Jaya, Jalan Apas, di sini, musnah dalam kebakaran, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Julius John Stephen ketika ditemui berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada 4.45 petang.

Katanya,sebaik tiba di lokasi kejadian jam 5 petang, operasi pemadaman segera dijalankan.

“Kesukaran yang kita hadapi apabila binaan rumah sepenuhnya dari kayu dan api yang cukup besar menyebabkan kita sukar untuk mengawal api pada permulaan kebakaran tadi.

“Kita juga menghadapi masalah dari segi sumber air yang ada di sini, namun berjaya dikawal dengan menggunakan pam yang sedia ada untuk mendapatkan sumber air laut dan juga daripada tanker bomba,” katanya ketika ditemui, malam tadi.

Menurutnya, api berjaya dikawal jam 9.37 malam dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Alhamdulillah, pasukan penyelamat berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak ke kampung lain.

“Pada masa ini, anggaran rumah yang musnah iaitu sebanyak 700 buah rumah,” katanya.

Tambahnya, operasi tamat pada jam 10.40 malam dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Operasi memadam kebakaran turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA, Bomba Komuniti Kampung Kitingan, dan penduduk kampung.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|