STAR Kapayan jangka sokongan pengundi kepada GRS meningkat

STAR Kapayan jangka sokongan pengundi kepada GRS meningkat

Penampang: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Kapayan melihat ada peluang besar untuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) meraih sokongan daripada kaum Cina di kawasan itu.

Ketua Bahagiannya, Jafery Jomion menjangkakan sokongan pengundi di kawasan itu kepada GRS meningkat berikutan ramai pengundi Cina mula bosan dengan kepimpinan pembangkang yang dilihat sibuk berpolitik dan bertelagah sesama sendiri.

“Hari ini, ramai pengundi kaum Cina yang bijaksana sudah sedar mana pemimpin yang mengutamakan perkhidmatan untuk menjaga keharmonian agama, pendidikan dan ekonomi berbanding pembangkang yang sibuk berpolitik, memfitnah serta tidak sehaluan.

“Ini dapat dibuktikan melalui sokongan kepada DAP/Pakatan Harapan (PH) yang telah hilang melalui siri Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka, Sarawak dan Johor baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Jafery berkata, peluang untuk menawan hati pengundi kaum Cina yang melebihi 33 peratus daripada 30,000 lebih pengundi di Kapayan dilihat positif.

“Kita ada peluang yang besar untuk memastikan GRS menang di kawasan ini berikutan perubahan sokongan politik di peringkat nasional yang sangat ketara selepas jatuhnya kerajaan PH di Persekutuan dan kerajaan Parti Warisan (WARISAN) di Sabah,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan yang sama, Jafery menyeru supaya kerajaan negeri meneruskan program bantuan dana kepada semua rumah ibadat termasuk kuil dan tokong seperti yang pernah dilaksanakan dalam kerajaan terdahulu.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat yang mendakwa bahawa Tokong Kuan Loon Tien, di sini, tidak menerima sebarang bantuan dari kerajaan sejak lebih dua tahun lalu.

“Pihak tokong berkenaan mendakwa mereka sudah tidak menerima dana peruntukan daripada kerajaan yang sebelum ini sebanyak RM20,000 disalurkan ke dalam akaun persatuan tokong berkenaan.

“Jadi saya mengharapkan kerajaan GRS tidak terlepas pandang apa saja jenis bantuan membabitkan rumah ibadat terutama di kawasan Kapayan ini walaupun wakil rakyatnya adalah dari DAP,” katanya.

Jafery sebelum ini dilantik sebagai Penasihat Kehormat tokong berkenaan pada awal bulan ini sebagai tanda penghargaan sumbangan beliau dalam komuniti di Kapayan selain tanda sokongan kaum Cina terhadapnya melalui STAR dan GRS.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|