PPM patahkan cubaan seludup haiwan, kosmetik

PPM patahkan cubaan seludup haiwan, kosmetik

Tawau: Cubaan penyeludup membawa masuk burung pelbagai spesis dan barangan kosmetik gagal apabila berjaya dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) di sini, semalam.

Semua barangan berkenaan yang dipercayai diseludup untuk pasaran tempatan dan negara jiran Indonesia ditemui di kawasan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) lama, Tawau.

Burung pelbagai spesis yang dipercayai cuba diseludup masuk turut dirampas.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintendan Ridzauddin Selamat berkata, rampasan pertama membabitkan beberapa kotak dikesan mencurigakan yang diletakkan di atas tong ikan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, kotak berkenaan berisi beberapa ekor burung pelbagai spesis.

Pegawai dan anggota PPM menunjukkan barangan kosmetik yang dirampas.

“Rampasan kedua pula membabitkan barangan kosmetik apabila pasukan operasi mengesan beberapa kotak yang mencurigakan diletakkan di luar bangunan CIQ berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat paket kosmetik dari Filipina dipercayai untuk diseludup ke Indonesia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ridzauddin berkata, pasukan operasi terus melakukan pemantauan selama beberapa jam di lokasi, namun tiada individu tampil mengaku sebagai pemilik barang berkenaan.

Katanya, barang rampasan terus dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Enekmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan Peraturan 18(1)(a) Peraturan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Nilai rampasan bagi kedua-dua kes dianggarkan berjumlah RM53,400,” katanya.

Sehubungan itu, Ridzauddin berkata, pasukan PPM amat menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat menerusi aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Sabah di talian 013-9391197.

“Maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Bilik Gerakan PPM Tawau di talian 089-983628 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat sentiasa terjaga dan terkawal,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|