5 PPS menempatkan 101 mangsa banjir di Beluran

5 PPS menempatkan 101 mangsa banjir di Beluran

Beluran: Sebanyak lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka yang menempatkan seramai 101 mangsa banjir di daerah ini, setakat jam 10 malam tadi.

PPS SNK Panol menempatkan 13 orang; Dewan Kampung Binsulung (25 orang); Dewan Kampung Balaban (37 orang); Dewan Rancangan Nangoh (21 orang) dan Dewan Bakong-Bakong (5 orang).

Keadaan banjir di beberap kampung di Beluran.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, terdapat empat sungai meningkat dilaporkan di kawasan Tagas-Tagas manakala lima di kawasan Paitan dan dua sungai pula di Telupid.

Katanya, keadaan itu menyebabkan tujuh jalan utama dan jalan kampung telah dinaiki air.

Lima PPS dibuka di Beluran selepas beberapa kampung dinaiki air banjir.

“Antara jalan utama yang dinaiki air iaitu Jalan Utama Kampung Pinangkau, Jalan Utama Kampung Sokoon, Jalan Utama Estate Maridian Kampung Tangkarason namun masih boleh dilalui kenderaan.

“Manakala tiga jalan kampung turut dinaiki air tetapi boleh dilalui iaitu Jalan Kampung Sualok, Kampung Berayung, Kampung Kiabau,” katanya dalam kenyataan media, malam tadi.

Sementara itu, Kasim berkata, terdapat 19 kampung lagi terputus hubungan iaitu Kampung Perancangan, Toniting, Gana Jati, Terasak, Biru-Biru dan Kampung Berayung.

Katanya, terdapat 20 kampung yang dikategorikan sebagai titik panas banjir berdasarkan rekod kejadian banjir sebelum ini.

“Situasi semasa hujan yang berlaku di semua kawasan mengakibatkan kemungkinan paras air akan meningkat dan risiko banjir kilat.

“Sehubungan itu, dinasihatkan kepada penduduk supaya sentiasa berwaspada dan bersiap sedia menyimpan dokumen-dokumen penting dalam keadaan selamat dan mudah dibawa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, setakat ini seramai 60 anggota keselamatan ditugaskan untuk mengawal selia keadaan semasa membabitkan pelbagai agensi kerajaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|