Khairul Fahmi sah sertai Sabah FC

Khairul Fahmi sah sertai Sabah FC

Kota Kinabalu: Penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat sah akan bermain bersama pasukan Sabah FC dalam aksi Liga Super musim 2022.

Bekas penjaga gol Melaka United FC musim lalu itu sudah menandatangani surat tawaran dan dijangka mula menjalani latihan bersama pasukan dalam masa terdekat.

Perkara itu berdasarkan gambar dan kenyataan ringkas Sabah FC melalui laman rasmi Facebook pasukan berkenaan sempena kedatangan tahun baharu 2022, semalam.

Sumber terdekat Sabah FC memaklumkan, Khairul Fahmi atau Apek, 32, menandatangani surat tawaran itu baru-baru ini, namun belum diumumkan secara rasmi.

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee melalui kenyataannya beberapa hari lalu juga tidak menyatakan kedudukan sebenar Apek berikutan khabar angin mengenai kemunculannya bersama skuad Sang Badak sebelum ini yang bertiup kencang.

Namun, difahamkan pengumuman rasmi dijangka dibuat dalam masa terdekat sebagai persiapan latihan memandangkan aksi Liga Malaysia dijangka bermula lebih awal musim ini berbanding pada tahun lalu.

Khairul Fahmi bakal bergandingan bersama bekas penjaga gol Negeri Sembilan FC, Damien Lim yang sudah berada di Sabah untuk sesi latihan yang bermula akhir bulan lalu.

Kim Swee sebelum ini mengumumkan tiga pemain kebangsaan, iaitu bekas kapten dan pemain tengah Kedah Darul Aman (KDA) FC, Baddrol Bakhtiar dan rakan sepasukannya, Rizal Ghazali, selain Dominic Tan yang sebelum ini bermain dengan Police Tero dalam Liga Thailand akan mula berlatih bersama skuad Sang Badak pada 10 Januari ini.

Selain mereka, beberapa lagi pemain baharu yang sudah sah diikat bersama Sabah pada musim ini, antaranya dua pemain dari Sarawak United, penyerang Tommy Mawat dan pemain pertahanan, Mohd Badrul Affendy.

Selebihnya ialah pemain tengah yang dipinjamkan daripada Johor Darul Ta’zim (JDT), Irfan Fazail, bersama seorang lagi bekas pemain JDT II, Stuart John Wilkin dan bekas pemain UiTM FC, Dirga Surdi.

Kim Swee turut mengekalkan pemain import dari Korea Selatan, Park Taesu dan Saddil Ramdani dari Indonesia, selain pemain senior, Amri Yahyah; N Thanabalan dan Nazirul Naim Che Hashim serta pemain tempatan, Alto Linus, Rawilson Batuil, Randy Baruh dan Ummareng Bacok.

Skuad Sang Badak musim ini turut diperkuatkan dengan kehadiran pemain muda, antaranya Mohd Ramzi Mustakim, Abd Hanafie Tokyo Abd Hasim, Mohd Nureizkhan Isa Japar, Mohamad Sahrizan Saidin, Gerald Gadit, Mohd Naaim Firdaus Stibin dan Azhad Harraz Arman.

Difahamkan, Sabah FC juga sedang mengintai beberapa lagi pemain import bagi menggantikan pemain import sebelum ini termasuk Risto Mitrevski yang tidak disambung kontrak.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|