Tragedi bot karam, tiga beradik hilang

Tragedi bot karam, tiga beradik hilang

Tawau: Perjalanan sembilan sekeluarga menuju ke Kampung Batu Payung, di sini, berakhir dengan tragedi apabila tiga daripadanya dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki karam petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, Saiful Muhaimin, 14, bersama dua adiknya Adam, 13 dan Saina, 12, masih belum ditemui manakala enam lagi sempat diselamatkan penduduk kampung.

Operasi mencari dan menyelamat tiga beradik yang dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki karam sedang dilakukan di perairan Kampung Batu Payung, Tawau. Pix Ihsan Bomba

Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius John Stephen berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.45 petang.

Katanya, sepasukan anggota dari BBP Tawau dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 24 kilometer dari balai.

“Menurut laporan, bot karam ketika kesemua mangsa berpatah balik dari Batu 4 Kampung Rawa-Rawa menuju ke Kampung Batu Payung.

“Terdapat sembilan mangsa dalam kejadian ini di mana enam berjaya diselamtkan penduduk kampung manakala tiga lagi hilang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya lagi, usaha mencari mangsa dan menyelamat (SAR) segera dilakukan membabitkan lima anggota bersama 17 bot penduduk kampung di kawasan berkenaan.

“SAR turut dibantu oleh Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

“Ketiga-tiga beradik berkenaan bagaimanapun setakat ini belum ditemui dan maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|