38 rumah, dua sekolah rosak dibadai angin kencang

38 rumah, dua sekolah rosak dibadai angin kencang

Kota Kinabalu: Sebanyak 38 buah rumah di lima kampung di Pulau Gaya, di sini, rosak teruk selepas dilanda hujan ribut dan angin kencang, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, Jeti Torong Lobong, di sini, turut dilaporkan rosak.

Manakala kejadian itu turut menyebabkan dua bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Gaya dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya rosak selepas atap beberapa bilik darjahnya diterbangkan angin kencang.

Selain itu, kejadian turut menjejaskan sebahagian struktur Balai Polis Pulau Gaya.

Rumah yang rosak teruk iaitu di Kampung Lobong sebanyak 18 buah rumah, Kampung Torong Lobong dan Kampung pondo masing-masing sembilan buah rumah.

Kampung Kesuapan dan Seradan Rampayan masing-masing satu buah rumah.

Bagaimanapun kejadian ini tidak membabitkan sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan yang dikeluarkan jam 3 petang tadi turut mengeluarkan amaran waspada.

Menurut kenyataan berkenaan, cuaca buruk melibatkan hujan lebat, angin kencang dan ribut petir itu dijangka akan berterusan sehingga Sabtu ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|