Mayat lelaki ditemui terapung di sungai

Mayat lelaki ditemui terapung di sungai

Beaufort: Mayat seorang lelaki ditemui terapung di sungai, di Batu 66, Parang Besar, di sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima laporan penemuan mayat berkenaan pada jam 12.41 tengah hari.

Mayat mangsa ditemui orang awam di sungai Batu 66, Parang Besar, Beaufort.

Katanya, sepasukan bomba terus dikerah ke lokasi penemuan sebelum bertindak mengangkat keluar mayat terbabit.

“Mayat itu kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut termasuk proses pengecaman daripada keluarga mangsa hilang.

Anggota bomba mengangkat mayat mangsa yang ditemui terapung di sungai.

“Mayat yang belum dapat dikenalpasti identitinya itu dipercayai berhubung kait dengan laporan kejadian lelaki hilang selepas terjatuh dari jambatan Sungai Padas, Tenom, 23 November lalu,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, selepas perbincangan bersama agensi penyelamat lain, operasi mencari dan menyelamat ditangguh pada jam 2 petang.

“Operasi SAR akan ditamatkan selepas mendapat pengesahan identiti mayat menerusi proses pengecaman mayat oleh keluarga mangsa selesai.

“Bagaimanapun, operasi akan disambung semula sekiranya terdapat petanda baru dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam kejadian 23 November lalu, seorang lelaki dewasa dilaporkan terjatuh dari jambatan Sungai Padas, Tenom sebelum operasi mencari dan menyelamat dijalankan pasukan bomba.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|