Persidangan DUN: MAHAS pantau isu halal di Sabah

Persidangan DUN: MAHAS pantau isu halal di Sabah

Kota Kinabalu: Majlis Halal Sabah (MAHAS) diwujudkan melalui mesyuarat Kabinet pada 23 November lalu bagi membincang dan memutuskan isu-isu halal di negeri ini.

Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan, Datuk Mohd Ariffin Arif, berkata majlis itu juga akan menyelaras tindakan yang melibatkan bidang kuasa agensi berkaitan produk, bahan atau makanan halal.

Katanya, majlis itu juga akan mencadangkan apa-apa langkah baharu bagi menangani isu-isu yang berkaitan dengan halal di negeri ini, yang tertakluk kepada dasar semasa kerajaan dan peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa.

“Isu kemasukan produk makanan khususnya produk daging (lembu/kerbau/ayam) yang diragui ketidakhalalannya dari segi syarak, mendorong kepada penyelarasan di peringkat agensi kerajaan negeri dan persekutuan yang berkaitan dengan bidang kuasa masing-masing.

“Penyelesaian yang melibatkan semua agensi yang berkaitan perlu dibuat melihat kepada bidangkuasa yang diperuntukan di agensi-agensi itu,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 kementeriannya pada Persidangan DUN Sabah, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata usaha membantu industri mikro dalam pensijilan halal juga akan dilaksanakan kementeriannya bagi memastikan pengusaha produk halal mendapat pengesahan patuh syariah.

“Kementerian juga melaksanakan pendekatan membantu industri mikro di negeri ini melalui pengeluaran Surat Perakuan Patuh Syariah (SPPS) yang diberikan kepada pengusaha mikro yang menghasilkan produk makanan dan minuman yang beroperasi di negeri ini.

“SPPS ini dibangunkan oleh MUIS Halal Hub bersama rakan-rakan dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan SIRIM.

“Ia merupakan pengiktirfan bahawa produk tersebut adalah halal dan selamat (toyyiban) dimakan dan digunakan serta mematuhi prinsip makanan serta minuman dalam Islam,” katanya.

Beliau berkata, SPPS dibangunkan bagi memberi ruang kepada industri mikro di negeri ini untuk mendapatkan pengiktirafan patuh syariah bagi produk makanan dan minuman yang dipasarkan kepada masyarakat awam..

Jelasnya, SPPS juga sebagai sokongan untuk mendapatkan perakuan dan logo Halal Malaysia selaras dengan kehendak sub perenggan 4(1)(a)(b) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|