KSTI, SATA teruskan kerjasama anjur program usahawan berasaskan teknologi

KSTI, SATA teruskan kerjasama anjur program usahawan berasaskan teknologi

Kota Kinabalu: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah akan meneruskan kerjasama bersama Sabah Techprenuer Association (SATA) dalam menganjurkan lebih banyak program usahawan berasaskan teknologi pada masa akan datang.

Setiausaha Tetap, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah, Datuk Zainudin Aman berkata, penganjuran program seumpana tidak hanya tertumpu di Kota Kinabalu, tetapi juga di seluruh negeri.

“InsyaAllah kita akan berkerjasama dengan pihak SATA untuk melaksanakan pelbagai lagi program dan pendekatan, bukan setakat di Kota Kinabalu, tetapi juga di seluruh negeri Sabah.

“Kita akan cuba untuk mendapatkan peruntukan tambahan agar program-program bertujuan untuk melahirkan usahawan teknologi ini dapat kita tambah dari masa ke semasa.

“Bukan itu sahaja, program seumpama ini juga akan kita jayakan bersama beberapa agensi-agensi pada peringkat persekutuan seperti Cradle Fund dan Meranti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penutupan Pitch Borneo 2022 Post-Pandemic Innopreneurs Edition Peringkat Akhir Negeri Sabah, di SKY Hotel, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Zainudin berkata, Pitch Borneo merupakan salah satu platform yang dilaksanakan bagi mencungkil bakat-bakat usahawan teknologi dan inovasi tempatan.

“Harapan kita, dengan sedikit sumbangan daripada pihak KSTI, kita akan dapat membantu para usahawan ini berkembang jauh ke hadapan.

“Ini sekali gus dapat membantu juga masyarakat di sekitar kampung mereka untuk turut terlibat dalam program-program keusahawanan,” katanya lagi.

Sementara itu, Presiden SATA, Severinus Kitingan berkata, sejak mula dilaksanakan pada 2014, Pitch Borneo berjaya mendapat sambutan yang amat mengalakkan.

“Sambutan daripada usahawan Sabah amat mengalakkan daripada tahun pertama kami melaksanakan Sabah Got Ideas pada 2011.

“Kemudian pada tahun 2014 kami telah membuat penjenamaan semula kepada Pitch Borneo dan setakat tahun ini, kita telah memberi latihan kepada lebih 1,300 peserta.

“Kami berharap agar lebih ramai usahawan-usahawan yang memiliki apa idea dan ingin membangunkan bisnes, sertailah SATA di mana kami akan memberi tunjuk ajar,” katanya.

Tambah Severinus, beliau mengalu-alukan mana-mana agensi yang ingin membuat kolaborasi pada masa akan datang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|