Persidangan DUN: 242,838 permohonan tanah selesai sejak 2015

Persidangan DUN: 242,838 permohonan tanah selesai sejak 2015

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) berjaya menyelesaikan sebanyak 242,838 permohonan tanah dalam tempoh kurang lapan tahun sejak 2015.

Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata sehingga 31 Oktober lalu, baki permohonan tanah yang belum selesai hanya 37,857.

Beliau berkata, JTU berjaya mengurangkan 86.5 peratus daripada 280,695 permohonan tanah tertunggak yang direkodkan pada 1 Januari 2015.

“Berdasarkan statistik permohonan tanah, jumlah tunggakan pada 1 Januari 2015 adalah sebanyak 280,695.

“Jumlah ini berjaya dikurangkan kepada 37,857 setakat 31 Oktober 2022 iaitu pengurangan sebanyak 86.5 peratus dalam tempoh kurang lapan tahun,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Dr Aliasgar Gulasan (PAS – ADUN Dilantik) mengenai strategi kerajaan untuk menyelesaikan isu berkaitan hak milik tanah khususnya di luar bandar Sabah.

Nizam berkata, JTU Sabah akan berusaha untuk menyelesaikan baki 37,857 permohonan tanah tertunggak pada tahun depan.

Jelasnya, penyelesaian permohonan tanah tertunggak dilaksanakan melalui beberapa strategi yang dapat mempercepat proses kelulusan.

“Strategi utama yang diambil adalah menyelesaikan tunggakan permohonan tanah di semua daerah dengan melaksanakan inisiatif memproses semua permohonan tanah secara berkelompok berdasarkan kawasan yang dipohon dengan mengaplikasikan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan teknologi geospatial terkini,” katanya.

Selain itu, katanya JTU Sabah turut menggunakan kaedah Field to Finish (F2F) yang mampu menyelesaikan pengukuran lot dan pelan hitungan secara serentak di lapangan bagi memendekkan tempoh memproses pengeluaran geran tanah.

Beliau berkata, penggunaan teknologi Global Navigation Satellite System (GNSS) yang baru dilaksanakan JTU juga membolehkan pengukuran tanah secara berkelompok dilaksanakan dengan lebih cepat dan menjimatkan kos.

Sementara itu, Nizam berkata melalui Program Perkhidmatan Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) bagi menangani isu pemilikan tanah Anak Negeri di luar bandar, pengukuran berdasarkan pendudukan tanah sehingga pengeluaran geran tanah ditetapkan dalam tempoh 12 bulan.

“Bilangan geran tanah yang dikeluarkan di bawah program PANTAS dari 2012 sehingga 31 Oktober 2022 adalah sebanyak 27,572 geran membabitkan kawasan seluas 42,429.26 hektar.

“Melalui Program PANTAS, peratusan pemilikan tanah hak milik Anak Negeri di Sabah dapat ditingkatkan daripada 24.5 peratus atau 477,171 hektar daripada 1,946,087 hektar jumlah tanah berhakmilik pada 2010 kepada 42.7 peratus atau 1,135,116 hektar daripada 2,655,683 hektar jumlah tanah berhakmilik pada 2021,” katanya.

Katanya, bagi menyelesaikan tunggakan pengukuran tanah untuk lot permohonan tanah yang sudah diluluskan, kerajaan Negeri melalui inisiatif penswastaan pengukuran tanah Anak Negeri turut melantik Juruukur Berlesen untuk melaksanakan pengukuran tanah bagi mengurangkan kebergantungan terhadap Juruteknik Ukur Kerajaan.

Dalam pada itu, Nizam berkata bagi memastikan semua strategi yang digariskan berjalan lancar, JTU menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi setiap bahagian yang terlibat serta melaksanakan pemantauan berkala agar objektif pengeluaran geran tanah dapat dicapai.

“Sungguhpun pelbagai program dan strategi telah dilaksanakan dalam menperkasakan pentadbiran tanah di Sabah, terdapat beberapa kekangan dan cabaran asas yang masih dihadapi oleh JTU khususnya berhubung pengukuran tanah di lapangan.

“Di antara masalah yang sering dihadapi oleh JTU semasa proses pengukuran dijalankan adalah pemohon tanah tidak dapat dihubungi disebabkan alamat yang dinyatakan dalam borang permohonan tanah tidak lengkap atau tidak dikemas kini disebabkan pemohon bekerja di luar daerah atau pemohon telah berhijrah ke tempat lain,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|