Persidangan DUN: Industri halal diberi tumpuan khusus

Persidangan DUN: Industri halal diberi tumpuan khusus

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri akan memastikan semua aktiviti ekonomi termasuk industri halal di negeri ini diberi tumpuan khusus agar Sabah terus kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik di rantau ini.

Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian negeri, Mohd Tamin Zainal, langkah itu sejajar usaha untuk memanfaatkan semua potensi ekonomi yang bakal diwujudkan di negeri ini.

Katanya, ia termasuk potensi Sabah dari segi kedudukannya yang bersempadan dengan Kalimantan, terutama dengan pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan Timur.

“Sabah yang terletak bersempadan dengan Wilayah Kalimantan dijangka akan mendapat pelbagai faedah jangka panjang ekoran daripada perpindahan ibu negara Indonesia yang baru dari Jakarta ke Kalimantan Timur khususnya dalam aspek peluang pelaburan dan perdagangan dua hala,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan DUN Sabah, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Hamild Awang mengenai perancangan jangka panjang kerajaan dalam mewujudkan industrial park yang berpotensi menjadi halal hub di Tawau.

Tamin berkata, industri halal dijangka menjadi satu sektor pertumbuhan baharu khususnya dalam membantu memacu pertumbuhan sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan seterusnya pertumbuhan ekonomi Sabah dalam jangka panjang.

“Peluang-peluang perniagaan halal yang bakal diwujudkan merangkumi aktiviti-aktiviti pemprosesan makanan dan bukan makanan serta sektor perkhidmatan seperti logistik, kewangan, perbankan, pendidikan dan pelancongan,” katanya.

Katanya, Sabah yang kaya dengan sumber bahan mentah sedia ada seperti minyak sawit, akuakultur, perikanan dan rumpai laut menjadi kelebihan untuk membangunkan sektor industri halal di negeri ini.

Jelasnya, sumber bahan mentah itu oleh didapati di pelbagai lokasi geografi negeri ini termasuk di Tawau.

“Oleh itu, dalam perancangan jangka panjang, kerajaan tidak hanya akan menumpukan pembangunan sektor industri halal di lokasi-lokasi strategik sedia ada seperti di POIC Lahad Datu dan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).

“Kerajaan juga akan melihat potensi pembangunan industri halal di tempat-tempat lain yang sesuai di negeri ini termasuk daerah Tawau berdasarkan kelebihan-kelebihan yang dimiliki seperti bekalan bahan-bahan mentah, potensi pasaran, kedudukan strategik dan sebagainya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|